
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Alhamdulillah kita telah berjaya melalui minggu pertama Ramadan dengan sebaiknya setakat kemampuan kita. Macam mana pun Ramadan kita, kita tetap patut bersyukur kerana diberikan peluang untuk bertemu bulan Ramadan pada 2022 ini kerana barangkali ini Ramadan terakhir kita, tiada siapa pun yang tahu.
Ada banyak perkara yang dibincangkan di pelbagai medium tentang amalan-amalan di bulan Ramadan yang disarankan supaya kita melaksanakannya bagi memaksimakan pahala kerana bulan Ramadan adalah bulan yang paling istimewa di dalam kehidupan orang Islam.
Den akan kongsikan lima (5) perkara ringkas yang kita orang biasa-biasa boleh sama-sama cuba lakukan untuk menambah pahala di bulan Ramadan tanpa memberikan tekanan yang besar kepada diri kita kerana kehidupan pada hari ini yang penuh dengan cabaran seperti kenaikan melambung harga barang dan perkhidmatan, polemik politik yang tidak berkesudahan dan sebagainya telah cukup melelahkan.
1. Sedekah paling kurang RM1 setiap hari
Ada orang yang mengumpulkan sedekahnya untuk diberikan pada sepuluh (10) malam hari terakhir Ramadan kerana mengharapkan untuk bertemu malam Lailatul Qadar di mana pahalanya berganda-ganda.
Tapi kadang-kadang den terfikir, kita mungkin ada rezeki bertemu Ramadan pada tahun ini tapi belum tahu kita sempat atau tidak bertemu dengan 10 malam terakhir Ramadan, jadinya marilah kita bersama-sama bersedekah paling kurang RM1 setiap hari di bulan Ramadan.
RM1 x 30 hari = RM30
In sya Allah kebanyakan daripada kita boleh sediakan jumlah ini untuk disedekahkan tidak kira samada melalui pindahan atas talian atau kita berikan pada kanak-kanak yang kita jumpai dan sebagainya.
2. Senyum
Senyum seindah suria yang membawa cahaya. Senyumlah dari hati dunia pasti berseri.
Di kala kita melalui kehidupan yang ada macam-macam cerita ini, kadang-kadang kita terlupa untuk senyum. Marilah kita mempraktiskan untuk kembali senyum kepada orang yang kita terjumpa samada di dalam lif, di pasar Ramadan, di pejabat dan sebagainya sebab senyuman adalah percuma, tidak sukar untuk dilakukan dan kadang-kadang senyuman kita akan memberikan sedikit keceriaan kepada mereka yang menerimanya.
Walaupun kita masih memakai pelitup muka, orang tetap tahu kita senyum atau tidak kerana apabila kita senyum kebiasaannya mata kita akan turut tersenyum.
3. Hadkan 3 hidangan sahaja untuk berbuka puasa
Kadang-kadang bila berpuasa kita akan terbeli macam-macam di bazar Ramadan kerana semua hidangan terlihat menyelerakan walaupun hakikatnya perut kita hanya boleh menerima sedikit makanan sahaja.
Jadi cuba tetapkan kombinasi 3 hidangan sahaja iaitu kombinasi makanan berat + kuih + air.
In sya Allah bukan sahaja mencukupi tetapi juga mengelakkan kita terjebak dengan pembaziran.
4. Perbaiki bacaan surah-surah lazim
Kebiasaannya orang akan berusaha untuk khatam Quran di bulan Ramadan. Sekiranya kita rasa perkara ini terlalu overwhelming untuk kita, kita boleh mulakan dengan memperbaiki bacaan surah-surah lazim. Ianya tidak semudah yang disangkakan ye sebab kalau kita belajar mengaji dengan ustazah atau ustaz, in sya Allah akan ada pembetulan walaupun pada surah Al-Fatihah.
5. Minimakan interaksi dengan media sosial
Ini nampak senang untuk dilakukan tetapi bagi kita yang telah terbiasa dengan media sosial, memang memerlukan keazaman yang tinggi.
Media sosial sememangnya memberikan banyak pengetahuan kepada kita tetapi kadang kala the less we know the better.
Simple je kan senarai semak Ramadan den ni?
#Lifehacks / #PetuaHidup / #生活小妙招
Bidasari Bahashim adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!
*Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.