Aaron-Aaron, Kai Wun-Roy King berebut slot separuh akhir

6 Aug 2026 • 7:53 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Aaron-Aaron, Kai Wun-Roy King berebut slot separuh akhir

PETALING JAYA: Pertembungan dua beregu lelaki, Aaron Chia-Aaron Tai dan Tee Kai Wun-Yap Roy King pada peringkat lapan terbaik memastikan satu wakil negara telahpun mengesahkan slot separuh akhir pada Kejohanan Badminton Korea Masters di Asan, Korea Selatan, esok.

Aaron-Aaron menewaskan beregu gabungan dua negara, Korea Selatan dan Malaysia, Choi Sol Gyu-Goh V Shem 21-14, 21-13 dalam masa 26 minit pada pusingan kedua, hari ini.

Ini merupakan kejayaan kedua berturut-turut Aaron-Aaron melayakkan diri ke peringkat lapan terbaik, selepas mereka berjaya berbuat demikian pada Terbuka Taiwan, minggu lalu.

Sementara itu, Kai Wun-Roy King tidak berdepan masalah menewaskan wakil tuan rumah, Jin Yong-Lee Jong Min 21-15, 21-13 dalam masa 35 minit.

Kemenangan tersebut secara tidak langsung telah menembungkan dua beregu Malaysia di pentas suku akhir.

Turut mara ke peringkat lapan terbaik, satu lagi beregu lelaki Malaysia, Man Wei Chong-Soh Wooi Yik yang menyingkirkan Nge Joo Jie-Donovan Willard Wee dari Singapura 21-18, 21-14 dalam masa 27 minit.

Pada pusingan seterusnya, Wei Chong-Wooi Yik akan berdepan beregu India, Krishna Prasad Garaga-Pruthvi Krishnamurthy Roy bagi memburu tempat ke separuh akhir.

Bagaimanapun, nasib malang menimpa satu lagi gandingan negara, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong yang tumpas kepada pasangan Taiwan, He Zhi Wei- Huang Jui Hsuan 16-21, 21-17, 13-21 dalam masa 45 minit.

Untuk acara perseorangan lelaki pula, impian menyaksikan dua pemain negara, Cheam June Wei dan Eogene Ewe bertembung sesama sendiri di suku akhir tidak kesampaian.

June Wei menjadi wakil tunggal Malaysia mara ke suku akhir selepas mengalahkan Dong Tian Yao dari China 21-10, 21-13 dalam masa 32 minit.

Bagaimanapun, dalam satu lagi pertarungan, Eogene terpaksa akur kepada pemain No. 42 dunia, Su Li Yang dari Taiwan 21-23, 21-19, 13-21 dalam masa 1 jam 12 minit.

Dalam pada itu, satu-satunya beregu wanita negara, Cheng Su Hui-Chong Jie Yu yang beraksi pada pusingan kedua, tewas di tangan gandingan Taiwan, Lin Chih Chun-Yang Chu Yun 21-17, 21-18 dalam masa 36 minit. – UTUSAN

The post Aaron-Aaron, Kai Wun-Roy King berebut slot separuh akhir appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved