
MELAKA – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh hadir di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bagi memberi keterangan sebagai saksi pertama dalam kes saman fitnah yang difailkan terhadap bekas Timbalan Speaker Dewan Negara, Datuk Mohamad Ali Mohamad.
Peguam yang mewakili Ab. Rauf, Datuk Wan Zamir Wan Majid berkata, prosiding hari ini dimulakan dengan pemeriksaan utama terhadap plaintif sebelum ditangguhkan bagi memberi laluan kepada sambungan pemeriksaan balas pada tarikh lain.
“Perbicaraan sudah dimulakan dengan saksi pertama, iaitu Datuk Seri Ab. Rauf memberi keterangan dan beliau selesai menjalani pemeriksaan utama, manakala pemeriksaan balas pihak defendan bagaimanapun belum selesai.
“Mahkamah menangguhkan perbicaraan ke satu tarikh lain kerana esok beliau akan mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding di pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, hari ini.
Beliau berkata, mahkamah dijangka menetapkan tarikh baharu esok bagi menyambung keterangan Ab. Rauf.
Prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri S.K. Raja Segaran itu menyaksikan pihak plaintif dijangka memanggil tiga saksi, manakala pihak defendan difahamkan bakal menyediakan empat saksi.
Terdahulu, pada September tahun lalu, Mahkamah Tinggi Melaka membenarkan Ab. Rauf memperoleh injunksi inter-parte berhubung saman fitnah yang difailkan terhadap Mohamad Ali yang juga Timbalan Ketua Penerangan Bersatu.
Injunksi berkenaan membabitkan arahan supaya semua hantaran yang didakwa berunsur fitnah di media sosial berkaitan kes itu diturunkan.
Kes berkenaan berkaitan penerbitan di akaun TikTok defendan yang didakwa mengandungi kenyataan fitnah oleh pihak plaintif. – KOSMO! ONLINE
The post Ab. Rauf saksi pertama kes saman fitnah terhadap Mohamad Ali appeared first on Kosmo Digital.






