
MELAKA – Barisan Nasional (BN) Melaka diibaratkan sebagai ‘anak dara cantik’ yang menjadi rebutan ramai pihak untuk menjalinkan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pihaknya bagaimanapun akan menilai setiap cadangan kerjasama yang dikemukakan sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan hala tuju politik negeri.
Katanya, BN Melaka terbuka untuk mengadakan rundingan dengan mana-mana pihak termasuk PKR, PAS atau parti lain yang demi kepentingan Melaka.
“Memanglah kita ni anak dara yang cantik, jadi ramai lah orang nak meminang.
“Jadi, pasti saya sebagai ketua dalam keluarga ini (akan) memilih siapa yang beri mas kahwin yang terbaik untuk jadi menantu saya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh selepas hadir bagi perbicaraan kes fitnah melawan bekas Timbalan Speaker Dewan Negara, Datuk Mohamad Ali Mohamad.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, BN negeri akan mempertahankan 21 daripada 28 kerusi yang dimenangi pada PRN lalu sebagai asas dalam sebarang rundingan kerjasama politik.
Katanya, pendirian itu akan terus dipertahankan walaupun terdapat kemungkinan berlaku pertukaran beberapa kerusi dalam proses rundingan.
“Apa yang penting ialah Melaka akan mempertahankan 21 kerusi yang kita menangi.
“Tentu ada perubahan dalam kerusi-kerusi yang lain tetapi titik perbincangan itu mesti bermula pada 21 kerusi yang akan kita pertahankan, walaupun ada pertukaran beberapa kerusi,” katanya.
Tambahnya, setakat ini belum ada satu pertemuan rasmi bagi memulakan rundingan termasuk berkaitan cadangan penubuhan PN Plus.
Beliau berkata, keputusan mengenai kerjasama politik negeri itu akan dibuat selepas perbincangan lanjut dan BN Melaka tidak boleh menunggu terlalu lama untuk menentukan hala tuju berkenaan.
Katanya, sebarang pertemuan berkaitan rundingan akan menggunakan Ibu Pejabat UMNO sebagai lokasi perbincangan dan bukannya di Melaka. – KOSMO! ONLINE
The post BN Melaka ‘anak dara cantik’, ramai mahu meminang – Ab. Rauf appeared first on Kosmo Digital.






