
MELAKA: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh terus berteka-teki mengenai parti yang bakal menjalinkan kerjasama dengan gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.
Beliau ketika ditemui pemberita hari ini memberi gambaran bahawa BN Melaka masih belum menentukan ‘jodoh’ politiknya, sama ada bersama Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) atau mana-mana parti lain.
“Memanglah, kita ini ‘anak dara’ yang cantik. Jadi ramailah orang nak pinang. Kita tunggulah. Jadi pastinya saya sebagai ketua dalam keluarga ini memilih siapa yang memberi mas kahwin yang terbaiklah untuk menjadi menantu saya,” katanya.
Ab Rauf berkata, setakat ini masih belum ada titik pertemuan rasmi untuk beliau memulakan rundingan atau perbincangan mengenai formula BN Plus yang sebelum ini diketengahkan bagi menghadapi PRN Melaka.
Bagaimanapun, beliau sekali lagi menegaskan BN Melaka terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak termasuk PKR, Pas atau parti lain yang bersedia mengadakan rundingan.
“Tetapi saya sekali lagi menegaskan bahawa walaupun kami berbincang, tidak semestinya kami akan dapat satu titik persamaan dalam menuju hala tuju politik negeri ini.
“Bagaimanapun, kami terbuka kepada mana-mana pihak untuk berbincang, asalkan kedua-dua pihak dapat bersama-sama melihat. Tak kisah siapa, PKR, Pas, ataupun mana-mana parti yang bersedia berbincang dengan kami,” katanya.
Dalam pada itu, Ab Rauf tetap menegaskan BN Melaka akan mempertahankan 21 kerusi yang dimenangi pada pilihan raya lalu sebagai asas dalam sebarang rundingan dengan parti lain.
Menurutnya, tidak mustahil berlaku pertukaran beberapa kerusi sekiranya kerjasama politik dicapai namun jumlah 21 kerusi yang menjadi milik BN tetap menjadi perkara utama dalam rundingan.
“Apa yang penting adalah kami akan mempertahankan 21 kerusi yang kami menang. Tentu ada perubahan dalam kerusi-kerusi yang lain, tapi titik perbincangan itu mesti bermula pada 21 kerusi yang akan kami pertahankan,” ujarnya.
Ditanya mengenai kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang menyatakan tekad tidak akan menjadi calon pada PRN kali ini sekiranya berlaku gabungan BN dan PH, Ab Rauf berkata perkara itu masih terlalu awal untuk diputuskan.
“Itu terlalu awal lagi. Sebab kita tak buat keputusan, sebab siapakah jodoh kita belum ada lagi,” katanya.
Ab Rauf turut ditanya sama ada keputusan mengenai kerjasama itu akan diumumkan selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Beliau berkata perkara berkenaan masih tertakluk kepada perbincangan selanjutnya, namun BN tidak boleh menunggu terlalu lama untuk menentukan hala tuju politik negeri.
“Apa pun, kita tak boleh tunggu lama, kita pasti akan menggerakkan satu keputusan untuk Melaka,” katanya. – UTUSAN
The post Ab Rauf terus berteka-teki parti mana kerjasama dengan BN appeared first on Utusan Malaysia.






