
PETALING JAYA – “Abang patut balik hari ini (semalam), abang dah janji nak bawa balik hadiah anniversary (ulang tahun perkahwinan).”
Demikian luahan isteri kepada Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa atau lebih dikenali sebagai Loe yang masih hilang dalam insiden banjir besar di Nepal sejak 26 Ogos lalu.
Hani Othman menerusi hantaran di media sosialnya berkongsi tarikh 3 September 2026 adalah genap 10 tahun usia perkahwinan dia dan suami.
Hani juga meluahkan kerinduan terhadap suaminya yang sehingga kini masih belum ditemui dan gagal dihubungi.
“Selamat ulang tahun perkahwinan yang ke-10 Loe Solo. Abang patut balik hari ni (semalam). Abang dah janji nak bawa balik hadiah. Teruja la hadiah apa abang nak bagi tahun ni,” tulisnya.
Lebih menyentuh hati, Hani turut mengimbas pelbagai perancangan yang sepatutnya mereka lalui bersama dalam tempoh akan datang.
Antaranya, mereka dijadualkan menduduki peperiksaan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) TVET pada 6 September ini, selain melengkapkan kursus divemaster di Pulau Tioman pada Oktober.
“Bulan Oktober kita patut lengkapkan kursus divemaster dekat Tioman. Bulan Mei (tahun depan) abang kena bawa sayang pergi Rinjani. Bulan Ogos (tahun depan) kita nak pergi Kilimanjaro pula,” katanya.
Menurut Hani, mereka juga sudah merancang untuk berlatih bersama bagi merealisasikan impian suaminya menawan puncak Everest.
“Sayang dah cakap kat abang kan kita akan latihan sama-sama dan sayang akan teman abang kali ini sampai ke Puncak Everest.
“Impian abang nak ke puncak Everest tak selesai lagi ni tau. Tolong la abang, mana abang sekarang ini?,” luahnya.
Sebelum ini, lebih 50 rakyat Malaysia dilaporkan hilang susulan bencana banjir dan tanah runtuh di Nepal, Tibet dengan usaha mencari dan menyelamat masih dijalankan sehingga hari ini.
Terdahulu, Hani tekad berlepas ke Kathmandu seorang diri sebagai usaha mendapatkan perkembangan secara langsung mengenai operasi mencari suaminya dan lapan anggota kumpulan Loe yang masih gagal dihubungi selepas bencana melanda Nepal. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Abang janji nak bawa hadiah anniversary, tapi masih belum pulang’ appeared first on Kosmo Digital.






