Abang Johari yakin empat penyandang GPS kekal dapat mandat rakyat  

LocalPolitics
8 Nov 2026 • 2:05 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Abang Johari yakin empat penyandang GPS kekal dapat mandat rakyat  

KUCHING: Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyuarakan keyakinan empat penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus mendapat kepercayaan dan mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri ke-13 (PRN13).

Penyandang yang dimaksudkan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan Datuk Hamzah Ibrahim, Datuk Ibrahim Baki (Satok), Datuk Fazzrudin Abdul Rahman (Tupong) serta Datuk Martin Ben (Kedup) yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

“Hari ini saya tidak mahu bercakap banyak kerana apabila saya melihat wajah mereka (penyandang) yang hadir hari ini, saya tahu mereka ini tetap akan terus dipilih oleh pengundi,” katanya berucap pada majlis pelepasan konvoi bermotosikal Pemuda PBB di sini.

Pada 6 Nov, Ketua Penerangan PBB Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata senarai calon yang akan mewakili GPS pada PRN13 dijangka diumumkan pada majlis penyerahan watikah sebelum hari penamaan calon pada 28 Nov ini.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menggesa jentera GPS memperhebat gerak kerja bagi memaksimumkan peratusan keluar mengundi, sekali gus melakar kemenangan besar pada pilihan raya berkenaan.

Fadillah yang Ketua Whip Parlimen GPS berkata matlamat utama ketika ini adalah menggerakkan seluruh jentera parti bagi memastikan GPS memperoleh kemenangan besar di semua kawasan di negeri ini.

“Beduk sudah berbunyi. Maksudnya, lepas ini kita kena berjuang bagi memastikan 12 Dis nanti, orang turun beramai-ramai mengundi dan undi GPS,” katanya ketika berucap pada majlis pelepasan konvoi bermotosikal Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini.

Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap komitmen dan keupayaan jentera parti yang disifatkannya sebagai mempunyai semangat juang serta kesungguhan dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

GPS dianggotai empat parti komponen iaitu PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Dis sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak, manakala penamaan calon pada 28 Nov dan pengundian awal pada 8 Dis.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved