Abang Rela gunting rambut percuma

5 Apr 2026 • 8:57 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Azuan Hafiezi menggunakan kemahirannya memberikan perkhidmatan gunting rambut percuma sempena Program Madani Rakyat 2026 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya pada Sabtu.
image is not available
Mohamad Razib (kiri) turut meninjau kehadiran orang ramai yang mendapatkan perkhidmatan gunting rambut percuma oleh Rela Perak sempena Program Madani Rakyat.

IPOH – Inisiatif pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Perak berpakaian uniform menawarkan perkhidmatan gunting rambut secara percuma menarik perhatian orang ramai yang hadir ke Program Madani Rakyat 2026 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini pada Sabtu.

Penolong Pegawai Daerah Selama, Azuan Hafiezi Mohamad Nor berkata, program tersebut merupakan antara usaha memperkenalkan peranan Rela kepada masyarakat selain mendekatkan jabatan itu dengan orang ramai.

Menurutnya, program gunting rambut percuma itu sebelum ini telah dilaksanakan di Tapah dan Manjung dengan sambutan positif.

"Kebanyakan anggota Rela yang terlibat mempunyai kemahiran menggunting rambut secara kendiri hasil minat dan latihan sendiri.

"Bila ada program seperti ini, anggota yang mempunyai kemahiran akan tampil membantu bagi menawarkan khidmat gunting rambut secara percuma," katanya ketika ditemui pemberita pada Sabtu.

Menurutnya, maklum balas diterima daripada pelanggan juga amat baik dengan kebanyakan mereka berpuas hati terhadap perkhidmatan diberikan.

Katanya, setiap pelanggan mengambil masa kira-kira 15 minit bagi memastikan kualiti potongan rambut tetap terjaga meskipun jumlah pengunjung ramai.

Sementara itu, Pengarah Rela Perak, Mohamad Razib Buhaini berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada Khidmat Bakti Rela (KBR) yang bertujuan memperluaskan peranan jabatan dalam aspek kebajikan masyarakat.

**media[3482172]****media[3482172]**

Menurutnya, idea program gunting rambut itu tercetus sejak dua tahun lalu, terutama ketika pandemik Covid-19 apabila orang ramai menghadapi kekangan untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut.

"Dengan kos gunting rambut yang mencecah sekurang-kurangnya RM15, Rela mengambil peranan membantu meringankan beban rakyat melalui perkhidmatan percuma ini.

"Kita mahu masyarakat merasai sendiri perkhidmatan Rela bukan sahaja melalui aktiviti keselamatan tetapi juga kebajikan," katanya.

Beliau berkata, selain gunting rambut, Rela turut melaksanakan program baik pulih rumah secara bersasar melibatkan golongan B40 dengan memberi tumpuan kepada keperluan asas seperti dapur dan bumbung.

Sementara itu Mohamad Razib berkata, setakat ini seramai lebih 6,000 anggota RELA aktif di Perak dengan sebahagian daripadanya terlibat dalam penugasan tetap termasuk kawalan di kira-kira 70 premis kerajaan di seluruh negeri.

Sepanjang tiga hari pengajuran Program Madani Rakyat, Rela menyasarkan seramai kira-kira 300 orang menggunakan khidmat gunting rambut mereka.