IPOH – Kerajaan meminta semua pemain industri supaya tidak mengambil kesempatan terhadap krisis tenaga global yang sedang melanda dunia ketika ini khususnya melibatkan bahan binaan dalam negara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan akan terus memantau serta mencari kaedah terbaik bagi memastikan kos bahan binaan kekal terkawal.
Menurutnya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Perumahan Negara akan mempergiat usaha bagi menstabilkan harga bahan binaan demi memastikan industri perumahan tidak terjejas.
"Kerajaan telah menyediakan subsidi sebanyak RM4 bilion, khususnya melibatkan pengangkutan awam termasuk lori yang mengangkut bahan binaan.
"Melalui subsidi ini, pemain industri masih menikmati harga bahan api lebih rendah, sekitar RM1.99 (petrol RON95) hingga RM2.15 (diesel) berbanding harga pasaran sebenar," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penutup Program Madani Rakyat 2026 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini pada Ahad.
Kor Ming berkata, dalam situasi krisis global yang memberi kesan kepada seluruh dunia termasuk Malaysia, semua pihak perlu memainkan peranan secara bertanggungjawab.
"Saya memohon semua pemain industri supaya bersama-sama tidak mengambil kesempatan kerana krisis ini memberi kesan besar kepada ekonomi dunia," katanya.
Sementara itu beliau menjelaskan, KPKT juga akan terus memperkukuh agenda perumahan termasuk menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dengan sasaran 100,000 pembeli rumah pertama mendapat manfaat tahun ini.
Katanya, sehingga kini kira-kira 80,000 pembeli rumah pertama telah mendapat manfaat dengan jumlah jaminan kerajaan mencecah RM40 bilion.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Program Madani Rakyat 2026 di Perak mencatat kejayaan apabila berjaya menarik kehadiran lebih 300,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya.
Katanya, program tersebut bukan sahaja mendekatkan kerajaan dengan rakyat, malah turut merancakkan ekonomi tempatan apabila hasil jualan penjaja mencecah hampir RM1 juta.

