
TAWAU: Tiga pasangan, yang ditahan dalam serbuan di sebuah rumah inap mewah di sini, direman empat hari bagi membantu siasatan susulan penemuan dadah jenis ketamine dan cecair disyaki mengandungi ekstasi, awal pagi Rabu.
Perintah reman sehingga 30 September itu dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum selepas membenarkan permohonan Penolong Pegawai Penyiasat Narkotik IPD Tawau, Sarjan Sulaiman Rappeng, bagi tujuan melengkapkan siasatan.
Kesemua suspek warga tempatan terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita berusia di antara 20 hingga 39 tahun, disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Berdasarkan keterangan kes, tiga pasangan tersebut ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Tawau dalam serbuan jam 4.30 pagi di rumah inap desa yang disewa salah seorang suspek wanita.
Serbuan dilakukan polis susulan maklumat diterima berkaitan kegiatan dadah di rumah berkenaan.
Enam suspek kemudiannya ditemukan berada di dalam sebuah bilik tidak berkunci di tingkat bawah rumah berkenaan ketika polis memasuki rumah mewah tersebut.
Hasil pemeriksaan bilik menemukan satu pinggan kaca mengandungi serbuk putih disyaki ketamin, sebatang rokok jenama Dark Horse disyaki dicampur dadah jenis ketamine dan sebuah jag kaca mengandungi cecair berwarna oren disyaki mengandungi ekstasi dengan anggaran isipadu 659.16 mililiter.






