Abdul Hadi akui rundingan damai dengan Bersatu sudah tertutup rapat

LocalPolitics
28 Aug 2026 • 12:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Abdul Hadi akui rundingan damai dengan Bersatu sudah tertutup rapat
Abdul Hadi

MARANG - Pas menganggap pintu rundingan dan ruang damai bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini sudah tertutup rapat.

​Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan parti berkenaan bertanding menentang Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebelum ini menjadi punca utama keretakan tersebut.

​Malah tegas beliau, pendirian beberapa pemimpin Bersatu yang membuat kenyataan terbuka sedia bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) menjelang PRN Melaka turut memburukkan lagi keadaan.

​"Ya lah, pada dasarnya dia (Bersatu) lawan kita pada PRN Negeri Sembilan.

"Dan dia juga ada kenyataan kata nak ikut, bersama dengan PH," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan Kuliah Dhuha di Masjid Rusila di sini pada Jumaat.

​Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian ketika diminta mengulas status hubungan kedua-dua parti berkenaan sama ada masih mempunyai ruang untuk berdamai atau sebaliknya.

Sebelum ini, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas pada 8 Jun lalu memutuskan untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu selepas membuat penilaian menyeluruh terhadap kedudukan dan hala tuju hubungan kedua-dua parti berkenaan.

​Pada PRN Negeri Sembilan 1 Ogos lalu, Bersatu mengambil langkah bertanding menggunakan lambang sendiri selepas mendakwa tidak dilibatkan dalam perbincangan pembahagian kerusi bersama PN.

​Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Penerangan Bersatu Melaka, Hishamuddin Abdul Karim dilaporkan berkata, partinya terbuka untuk berunding dengan mana-mana pihak yang mempunyai persamaan fikiran, termasuk PH menjelang PRN negeri itu.

Bagaimanapun katanya, sebarang kerjasama pilihan raya mestilah mengecualikan mana-mana parti yang didakwa mengkhianati kepercayaan serta semangat kerjasama yang telah dibina dalam PN sebelum ini.

​Untuk rekod, Pas dan Bersatu secara rasminya masih kekal berada di bawah naungan gabungan PN.

Pada 9 Ogos lalu, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kedudukan Bersatu dalam gabungan itu sedang diteliti susulan terdapat laporan daripada beberapa Ahli Parlimen Bersatu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berkaitan keabsahan kepimpinan jawatankuasa parti berkenaan.

Menurutnya, PN mengambil maklum perkara tersebut dan akan melihat sejauh mana keabsahan kepimpinan Bersatu dipertikaikan oleh ROS.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved