
MARANG: “Apa yang saya tulis adalah kenyataan (terkandung) dalam perlembagaan DAP dan sejarahnya. Dia tidak boleh nafi.”
Demikian reaksi Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai beberapa laporan polis dibuat penyokong DAP berhubung salah satu artikel yang diterbitkannya menerusi kolum Minda Presiden Pas.
Ahli Parlimen Marang itu mengakui beliau dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung perkara berkenaan dan menyifatkannya sebagai prosedur biasa perlu dilakukan pasukan keselamatan tersebut apabila menerima laporan.
Katanya, beliau memberikan kerjasama bagi membantu siasatan dan semua persoalan akan dijawab di mahkamah sekirannya terdapat pertuduhan terhadapnya.
Bagaimanapun, katanya, setakat pagi ini, beliau belum dimaklumkan sama ada terdapat pertuduhan akan dibuat ke atasnya.
“Saya sedia jawab di mahkamah. Saya sebut (mengenai) perlembagaan DAP dan kenyataan pemimpin-pemimpin mereka. Banyak nanti kita kumpul,” katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di sini, hari ini.
Terdahulu, Abdul Hadi dilapor telah memberi keterangan kepada polis di Kuala Lumpur bagi membantu siasatan berhubung artikel beliau diterbit dalam Facebook.
Sebelum ini terdapat beberapa laporan polis telah dibuat oleh penyokong DAP berhubung salah satu artikel yang diterbitkan Ahli Parlimen Marang itu. – UTUSAN
The post Saya tulis apa terkandung dalam perlembagaan, sejarah DAP – Abdul Hadi appeared first on Utusan Malaysia.






