Di acara Computex Taipei yang berlangsung pada awal bulan Jun, Acer telah memperlihatkan sejumlah komputer riba baru yang dikuasakan oleh gabungan pelbagai komponen-komponen berkuasa dari Intel dan NVIDIA, termasuklah komputer riba gaming gergasi mereka, iaitu Acer Predator Helios 18 AI.

Terkini, Acer Malaysia telah mengumumkan bahawa komputer riba ini sudahpun memasuki pasaran Malaysia dengan dua konfigurasi spesifikasi, yang mana kedua-duanya hadir dengan penggunaan cip pemprosesan Intel Core Ultra
9 290HX Plus yang terbaru dan pilihan hantara kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5090 ataupun NVIDIA GeForce RTX 5080.

Bergantung kepada kad grafik yang dipilih, penawaran memori DDR5 juga adalah sedikit berbeza. Model dengan kad grafik GeForce RTX 5090 hadir dengan memori DDR5 sebanyak 48GB, manakala model dengan kad grafik GeForce RTX 5080 pula hadir dengan memori sebanyak 36GB. Kedua-dua model komputer riba ini akan hadir dengan storan SSD PCIe4 sebesar 1TB.

Predator Helios 18 AI ini juga hadir dengan paparan skrin Mini LED sebesar 18 inci dengan resolusi 4K dan kadar segar semula 120Hz. Ia juga hadir dengan nilai kecerahan 1000 nits dan olahan warna yang jitu. Sayangnya, tidak seperti model yang kami lihat di acara Computex Taipei, model yang dibawa masuk ke pasaran tempatan tidak hadir dengan ciri 1080p dan kadar segar semula 300Hz.
Untuk menyejukkan komponen-komponen berkuasa dalam komputer riba ini, Acer menggunakan kipas penyejuk Aeroblade 3D Gen6 dengan 100 bilah kipas bersaiz 0.01mm untuk mengalirkan haba dari komponen-komponen CPU dan GPU dengan cepat.

Ketiga-tiga bahagian sisi kiri, kanan dan belakang komputer riba ini juga merumahkan palam-palam Thunderbolt 4, HDMI 2.1, pembaca kad SD, palam audio dan sebagainya secara sekata untuk mengurangkan isu kabel berselirat apabila banyak kabel disambungkan kepada komputer riba ini.

Dalam pada itu ia juga menyokong sambungan internet nirwayar WiFi7 dan sambungan berwayar dengan kelajuan tinggi, bergantung kepada keperluan pengguna.

Varian dengan spesifikasi NVIDIA GeForce RTX 5090 bersama 48GB RAM dijual pada harga RM19,999, manakala varian NVIDIA GeForce RTX 5080 bersama 36GB RAM ditawarkan pada harga RM17,999. Predator Helios 18 AI boleh didapati melalui pengedar sah Acer dan Acer eStore bermula 6 Julai 2026. Pembelian yang dibuat sebelum 12 Julai 2026 juga akan menerima monitor mudah alih PM161Q bernilai RM349 secara percuma selagi stok masih ada.





