
ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak mahu dibuai kejayaan atau bersikap angkuh menjelang aksi menentang Port FC dalam saingan Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam esok.
Ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz menegaskan anak buahnya perlu kekal fokus dan tidak memandang rendah keupayaan kelab Thailand itu biarpun lawan berkenaan tewas dalam dua perlawanan terakhir.
Katanya, setiap perlawanan di pentas Asia menuntut komitmen tinggi kerana kesilapan kecil boleh menentukan keputusan akhir.
“Kita perlu mengekalkan momentum positif. Namun, setiap perlawanan ACLE ibarat aksi final. Port FC kini berada di tangga teratas Liga Thailand dan bukan mudah untuk menewaskan mereka.
“Kekalahan dalam aksi terdahulu tidak menggambarkan kekuatan sebenar mereka. Jika kita menganggap perlawanan esok mudah, itu satu kesilapan besar,” katanya pada sidang akhbar pra-perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, di sini hari ini.
JDT hadir dengan keyakinan selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Pohang Steelers, sebelum ini, namun bagaimanapun, Munoz tidak mahu keputusan itu menyebabkan pemainnya hilang kewaspadaan ketika berdepan cabaran Port FC.
Menurutnya, barisan kejurulatihan sudah meneliti corak permainan lawan dan menyediakan beberapa pendekatan taktikal bagi menghadapi kemungkinan berbeza sepanjang perlawanan. – KOSMO! ONLINE
The post ACLE: JDT enggan angkuh, Port FC tetap berbahaya appeared first on Kosmo Online.






