
ISKANDAR PUTERI – Kekuatan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang seimbang dalam semua aspek permainan membuatkan Port FC mengakui bukan mudah untuk menjinakkan Harimau Selatan dalam aksi Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), esok.
Ketua jurulatih Port FC, Bozidar Bandovic berkata, JDT memiliki barisan pemain berkualiti selain cukup tersusun ketika menyerang dan bertahan selain kemampuan Harimau Selatan mengawal permainan serta melakukan transisi pantas turut menjadi ancaman besar buat pasukannya.
“Ini akan menjadi perlawanan sukar buat kami. Kami menentang pasukan yang sangat bagus dan teratur dalam serangan serta pertahanan.
“Bagaimanapun, kami akan memberikan segala-galanya di atas padang. Kami mahu bersaing dan cuba meraih kemenangan atau sekurang-kurangnya mendapatkan mata,” katanya pada sidang akhbar pra-perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, hari ini.
Bandovic berkata, aksi menentang JDT menjadi ujian penting buat Port FC yang pertama kali menyertai saingan ACLE dan walaupun mengutamakan saingan domestik, beliau mahu anak buahnya menggunakan peluang itu untuk mengukur kemampuan pasukan di pentas Asia.
Namun, cabaran Port FC bertambah sukar apabila dua tonggak utama, Kaka Mendes dan Matheus Lins, terpaksa diketepikan akibat kecederaan.
Pengendali kelahiran Montenegro itu turut menjadikan kekalahan kepada Vissel Kobe 1-2 dan Kashiwa Reysol 1-5 sebelum ini sebagai pengajaran untuk memperkemas permainan pasukannya.-KOSMO! ONLINE
The post ACLE: Port FC akui JDT sukar dijinakkan appeared first on Kosmo Online.






