JDT elak terlalu selesa jumpa Port FC

FootballSports
26 Oct 2026 • 8:09 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: JDT elak terlalu selesa jumpa Port FC

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) enggan mendabik dada selepas melakar kemenangan 2-0 ke atas Pohang Steelers, sebaliknya berwaspada ancaman kelab Thailand, Port FC dalam saingan Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, di sini esok.

Ketua Jurulatih JDT, Xisco Munoz mengingatkan anak buahnya agar kekal fokus dan tidak memandang rendah keupayaan lawan biarpun skuad The Lions of Klong Toei itu mengalami kekalahan dalam dua perlawanan terakhir mereka.

Menurut Munoz, saingan di peringkat tertinggi Asia sentiasa menjanjikan cabaran berbeza kerana setiap perlawanan ditentukan perincian kecil yang dilakukan kedua-dua pasukan.

“Paling penting adalah untuk kita kekal dalam momentum positif. Namun, kita perlu faham setiap perlawanan di ACLE adalah seperti aksi final. Lawan kita ketika ini menduduki tangga teratas Liga Thailand dan ia bukannya satu tugas mudah.

“Walaupun lawan tewas dalam aksi terdahulu, ia tidak menggambarkan kekuatan sebenar mereka. Mereka beraksi di Jepun yang mempunyai tahap persaingan tinggi dan tetap menunjukkan karakter serta sikap agresif. Jika kita beranggapan perlawanan esok mudah, itu adalah satu kesilapan besar,” katanya pada sidang akhbar pra-perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

Mengulas mengenai persediaan taktikal menghadapi corak permainan tersusun dan bertahan pasukan lawan, Munoz menegaskan barisan kejurulatihannya telah menganalisis pelbagai senario perlawanan yang bakal dihadapi pemain Harimau Selatan.

“Kami mempunyai pelbagai pilihan dan senario dalam minda. Lawan mungkin akan bermain ‘low block’, tetapi dinamik perlawanan boleh berubah sekiranya kita berjaya menjaringkan gol awal. Skuad berada dalam keadaan bersedia,” jelasnya.

Sementara itu, pemain JDT, Natxo Insa menyeru rakan sepasukan agar mengelak daripada berasa terlalu yakin biarpun tuan rumah dilihat sebagai pasukan pilihan untuk menang.

“Kejayaan dan reputasi dimiliki JDT hari ini adalah hasil kerja keras, komitmen serta kesungguhan berterusan seluruh warga kelab sejak beberapa tahun lalu.

“Dalam bola sepak, kita tidak boleh mendabik dada. Jika kita lupa untuk bekerja keras, rendah diri dan dahagakan kejayaan yang membawa kita ke tahap ini, kita akan menghadapi masalah besar esok,” katanya.-UTUSAN

The post JDT elak terlalu selesa jumpa Port FC appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved