
JOHOR Darul Ta’zim (JDT) mahu meneruskan momentum kemenangan menjelang aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang wakil Thailand, Port FC di Stadium Sultan Ibrahim, hari ini.
Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya berjaya menewaskan kelab gergasi Korea Selatan, Pohang Steelers awal bulan ini sekali gus mengukuhkan kedudukan dalam usaha memburu kemaraan ke pusingan seterusnya.
Kemenangan itu menjadi motivasi buat pengendali JDT, Xisco Munoz meskipun sedar cabaran berbeza menanti apabila setiap kesilapan boleh menentukan nasib pasukan di pentas Asia.
Menurut Munoz, JDT perlu mengekalkan tahap fokus tertinggi sepanjang 90 minit, terutama ketika membuat keputusan di kawasan serangan dan bertahan bagi memastikan pasukan terus mengutip keputusan positif.
“Dalam ACLE, perbezaannya terletak pada penyudah dan bagaimana pemain mencipta peluang. Kami perlu memberikan tumpuan sepenuhnya dan bersedia menghadapi setiap situasi, sama ada ketika menyerang mahupun bertahan.
“Saya harap pasukan fokus 100 peratus serta persembahan terbaik untuk memperoleh keputusan positif dan terus bersaing dalam kejohanan ini.
Pengendali dari Sepanyol turut mengingatkan anak buahnya supaya tidak memandang mudah Port FC, sambil menegaskan mentaliti kemenangan yang dimiliki JDT perlu diterjemahkan menerusi aksi di atas padang.
“Kita akan lihat bagaimana perlawanan berlangsung. JDT sentiasa bermain dengan mentaliti untuk menang dan segala-galanya akan ditentukan dalam tempoh 90 minit,” katanya.
Juara Liga Super 12 kali berturut-turut itu telah melakar sejarah mara ke pusingan suku akhir ACLE buat kali pertama musim lalu sebelum tewas kepada juara, Al-Ahli 1-2.
The post ACLE: JDT sedia susun langkah terbaik appeared first on Kosmo Online.





