ACLE: Tiga gol, tiga mata! JDT terus intai slot separuh akhir

LocalFootball
27 Oct 2026 • 12:00 AM MYT
Stadium Astro
Stadium Astro

The latest sports results, news, match highlights, schedules and more

ACLE: Tiga gol, tiga mata! JDT terus intai slot separuh akhir

Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan kedudukan dalam kempen Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) selepas meraih kemenangan kedua menerusi kejayaan menewaskan Port 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Kemenangan itu bukan sahaja memberikan tiga mata berharga buat Harimau Selatan, malah menyuntik keyakinan mereka untuk merealisasikan sasaran mara ke separuh akhir musim ini.

Bagaimanapun, skuad kendalian Xisco Muñoz terpaksa menunggu sehingga babak kedua untuk memecahkan kebuntuan selepas beberapa percubaan pada separuh masa pertama gagal menghasilkan jaringan.

Peluang terbaik JDT hadir pada minit ke-27 menerusi Arif Aiman Hanapi, namun percubaannya berjaya dinafikan penjaga gol pelawat.

Arif Aiman sekali lagi hampir meletakkan tuan rumah di hadapan lima minit sebelum rehat, tetapi penjaga gol Port terus cemerlang memastikan kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan dengan kedudukan terikat tanpa jaringan.

JDT akhirnya menemui sentuhan penyudah sebaik babak kedua bersambung apabila Jonathan Silva meledak gol pembukaan untuk memberikan kelebihan kepada Harimau Selatan.

Belum cukup dengan itu, Bergson da Silva yang baru dimasukkan bagi menggantikan Shahab Zahedi terus mencuri tumpuan apabila menggandakan kelebihan JDT, sekali gus meletakkan tuan rumah dalam kedudukan selesa.

Namun, kegembiraan Bergson tidak bertahan lama apabila penyerang itu terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kekejangan, dipercayai susulan aksi meraikan jaringannya dengan penuh ghairah.

Port kemudian menyangka berjaya merapatkan jurang pada minit ke-70, tetapi jaringan pasukan pelawat dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

JDT memanfaatkan situasi itu untuk terus menguasai perlawanan sebelum Stoichkov melebarkan jurang kepada 3-0 menerusi jaringan pada minit ke-86.

Tiada lagi jaringan terhasil sehingga wisel penamat, sekali gus mengesahkan kemenangan 3-0 buat JDT dan menghadiahkan tiga mata penting kepada anak buah Xisco Muñoz dalam usaha memburu tempat ke separuh akhir ACLE.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved