Baru-baru ini, Sony telah menaikkan harga siri konsol permainan video PlayStation 5 dan PlayStation Portal mereka, yang telah memperlihatkan model PlayStation 5 Pro meningkat sehingga RM3999 untuk pasaran tempatan.
Tetapi tahukah anda bahawa terdapat satu lagi kontroversi yang telah tular di platform media sosial berkenaan permainan konsol tersebut? Isu ini bermula dari pertanyaan kepada bot borak PlayStation Support tentang tempoh DRM 30 hari untuk permainan-permainan video digital baru yang dibeli melalui PlayStation Store.
The new DRM on the PlayStation update is a disgrace to gaming, Sony should make a statement whenever this PlayStation Support message is real or faked.
— NikTek (@NikTek) April 27, 2026
This issue with this 30-Day Timer being applied to all new purchases isn't about having an active internet connection, but the… pic.twitter.com/V35Ftf0Ux4
Menurut bot borak PlayStation Store, DRM 30 hari ini adalah untuk permainan digital yang dibeli selepas bulan Mac 2026, yang mana DRM ini akan memeriksa sekiranya konsol permainan yang mempunyai permainan tersebut adalah aktif secara atas talian ataupun tidak.
Jika tidak, lesen permainan tersebut akan dinyahaktifkan selepas tempoh 30 hari tersebut, dan konsol tersebut akan perlu disambungkan secara atas-talian untuk mengaktifkan semula lesen tersebut sebelum ia boleh dimainkan sekali lagi.

Secara teknikalnya kenyataan daripada bot tersebut boleh dibaca sebagai sebuah “kenyataan rasmi” daripada pihak Sony tentang bagaimanakah DRM baru ini berfungsi, dan orang ramai di media sosial boleh dilihat tidak berpuas hati dengan perkara tersebut.
Terdapat juga pihak yang mengatakan bahawa ini adalah satu isu kerentanan dalam sistem DRM ataupun mereka telah menukar jenis DRM yang digunakan untuk permainan digital terbaru mereka.

Perkara ini dilihat menjadi perbualan hangat untuk beberapa hari, dan anehnya, Sony masih belum memberi sebarang kemas kini kepada perkara ini. Akan tetapi, terdapat beberapa pihak yang telah membuat penyelidikan tentang isu ini, dan telah menemui bahawa DRM yang digunakan oleh Sony masih lagi DRM yang sama, tetapi dengan beberapa butiran yang telah ditukar.
And apparently, after 14-16 days (as in, once a refund period is up), then they silently switch your license to a permanent one pic.twitter.com/gD33YvdKld
— AWMonopolyMan (@AWMonopolyMan) April 28, 2026
Penjelasan yang diberikan ialah untuk permainan digital yang dibeli sebelum Mac 2026, DRM tersebut sebelum ini memperlihatkan kod 7F FF FF FF FF FF FF FF yang secara ringkasnya mengatakan bahawa permainan ini tidak mempunyai sebarang tamat tempoh selepas pengesahan kali pertama.
Untuk permainan-permainan yang dibeli selepas Mac 2026, sebuah “kod tarikh” akan diperlihatkan yang menandakan 30 hari sebelum tamat tempoh. Setelah mencari butiran lanjut mengenai perkara ini, nampaknya DRM ini digunakan untuk memastikan bahawa permainan tersebut belum dimuat-turun dan dimainkan dalam tempoh 14 hari akan datang, yang mana ia merupakan tempoh pulang semula permainan digital PlayStation 5 yang dibeli.

Perisian DRM ini bukanlah sesuatu yang baru, kerana teknik yang sama digunakan untuk permainan-permainan percuma yang ditawarkan melalui langganan PlayStation Plus, dimana selepas tempoh langganan tamat dan tidak diperbaharui, konsol anda akan mengeluarkan notis untuk memperbaharui langganan anda sebelum anda boleh terus memainkan permainan tersebut.
Pada pendapat saya, isu di sini ialah Sony mengambil masa yang terlalu lama untuk memberi penjelasan tentang isu DRM ini. Salah faham yang sedang menular sekarang ialah konsol PlayStation 5 pengguna perlu disambungkan ke internet setiap 30 hari untuk “mengemaskini” lesen digital pada permainan sebelum ia boleh dimainkan, tetapi jangkaannya ialah ia mungkin hanya digunakan untuk tujuan menentukan tempoh pulang-semula permainan.
Sewaktu artikel ini diterbitkan, Sony masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi tentang perkara ini, dan jangkaan saya ialah Sony tidak akan menjawab pertanyaan pengguna tentangnya walaupun mereka tahu apa yang sebenarnya sedang berlaku. Mereka juga mungkin akan memperbaiki jawapan bot borak PlayStation Store, tetapi ini juga mungkin akan mengambil masa.





