
Sebelum ini kami telah melaporkan bahawa kad grafik Intel Arc merupakan satu-satunya siri kad grafik yang tidak boleh menjalankan permainan Crimson Desert. Pembangun permainan tersebut, Pearl Abyss kemudiannya meminta maaf dan mengatakan bahawa kemas kini untuk sokongan siri kad grafik tersebut sedang dibangunkan.
Intel baru sahaja memperkenalkan kemas kini kad grafik terbaru mereka, versi 32.0.101.8629 yang kini boleh dimuat-turun, dan terdapat laporan yang mengatakan bahawa kemas kini ini membolehkan sejumlah pengguna untuk menggerakkan permainan Crimson Desert.
Crimson desert works with the new driver
byu/snillenz inIntelArc
Daripada apa yang dapat dilihat, mereka yang menggunakan kad grafik Intel Arc B580 ataupun Intel Arc Pro B50 kini boleh menggerakkan Crimson Desert dengan kemas kini baru tersebut. Pengalaman gaming dengan kemas kini ni juga dilihat agak baik, dengan beberapa pengguna mengatakan bahawa permainan tersebut boleh digerakkan pada resolusi 1440p dengan kadar bingkai mencapai 60FPS pada tetapan Ultra.
Walaupun begitu, mereka juga mengatakan bahawa masih terdapat isu seperti crashing yang berlaku apabila permainan ini dimainkan dengan ciri penaiktarafan bingkai Fidelity Super Resolution (FSR) diaktifkan dalam permainan, yang mana ia mungkin sebab mengapa pihak Intel dan Pearl Abyss belum mengatakan bahawa permainan tersebut sedia dimainkan secara rasmi.
Intel dijangka akan memperkenalkan satu kemas kini kritikal kelak, yang mungkin membolehkan permainan tersebut dimainkan secara lebih lancar oleh kesemua model-model kad grafik Intel yang sedia ada.



