
PETALING JAYA: Kerugian pelaburan semata-mata tidak seharusnya dijadikan asas untuk mendakwa seseorang menteri di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan.
Setiausaha Penerangan UMNO, Datuk Suraya Yaacob berkata, perkara itu perlu diberi perhatian susulan pertuduhan terhadap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkaitan pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH).
Menurutnya, pertuduhan berkenaan menimbulkan persoalan lebih besar mengenai standard undang-undang yang boleh digunakan terhadap menteri yang meluluskan keputusan pelaburan kerajaan.
“Adakah seorang menteri boleh dianggap melakukan penyelewengan jenayah hanya kerana beliau memberikan kelulusan kepada suatu pelaburan kerajaan yang kemudiannya mengalami kerugian?
“Kalau jawapannya ya, duluan ini sangat berbahaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suraya berkata, keputusan pelaburan TH bukan dibuat oleh seseorang menteri secara bersendirian, sebaliknya melalui proses yang melibatkan pengurusan, penilaian profesional, jawatankuasa pelaburan, Panel Pelaburan dan Lembaga TH sebelum dikemukakan kepada menteri untuk kelulusan seperti diperuntukkan undang-undang.
Sehubungan itu, katanya, pihak pendakwaan perlu membuktikan apakah perbuatan tidak jujur yang didakwa dilakukan Jamil Khir ketika memberikan kelulusan tersebut.
“Bukan sekadar pelaburan dibuat, menteri tandatangan, pelaburan rugi, maka menteri melakukan jenayah.
“Itu bukan standard yang sepatutnya digunakan dalam undang-undang jenayah,” katanya.
Beliau berkata, Seksyen 403 bukan kesalahan semata-mata kerana membuat keputusan yang akhirnya terbukti salah, sebaliknya memerlukan pembuktian unsur ketidakjujuran.
Katanya, perlu ada bukti bahawa ketika keputusan dibuat, seseorang mempunyai niat tidak jujur untuk menyebabkan keuntungan salah kepada pihak tertentu atau kerugian salah kepada pihak lain.
“Risiko pelaburan bukan niat jenayah,” katanya.
Menurut Suraya, sesuatu pelaburan mungkin disokong pegawai profesional, jawatankuasa pelaburan dan lembaga berdasarkan data yang munasabah ketika keputusan dibuat, namun mengalami kerugian beberapa tahun kemudian akibat perubahan pasaran atau kegagalan syarikat.
“Menteri yang paling selamat selepas ini ialah menteri yang tidak membuat apa-apa keputusan. Tidak tandatangan, tidak mengambil risiko, tidak membuat pelaburan dan tidak mencuba sesuatu yang baharu.
“Kalau berjaya, kerajaan mendapat keuntungan. Tetapi kalau gagal, menteri mungkin berdepan pertuduhan jenayah bertahun-tahun kemudian,” katanya.
Suraya berkata, keadaan itu bukan sahaja tidak adil kepada individu terbabit, malah berpotensi melumpuhkan pentadbiran kerajaan apabila menteri takut membuat keputusan.
Beliau turut membandingkan isu berkenaan dengan kontroversi pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam eFishery yang mengakibatkan kerugian besar.
Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mempertahankan prinsip bahawa pelaburan dibuat melalui proses profesional, usaha wajar, jawatankuasa pelaburan dan lembaga, manakala kerugian selepas itu tidak dengan sendirinya membuktikan rasuah atau jenayah.
Beliau berkata, isu yang dibangkitkan bukan mengenai sokongan terhadap Jamil Khir sebagai individu, sebaliknya berkaitan standard undang-undang yang mahu ditetapkan terhadap semua menteri di negara ini. – UTUSAN
The post Adakah selepas ini menteri didakwa jika pelaburan syarikat berkaitan kerajaan rugi? appeared first on Utusan Malaysia.




![[VIDEO] Jamil Khir selesai bayar jamin, tekad bersihkan nama di mahkamah](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/e323da49-e6d9-4d59-9b07-b7a9279e84bc-1024x682.jpeg)

