
KUALA LUMPUR - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tiga pertuduhan menyebabkan Lembaga Tabung Haji (TH) melupuskan aset bernilai RM860.31 juta menerusi tiga transaksi antara 2015 dan 2017.
Jamil Khir, 65, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Rosli Ahmad.
“Tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” katanya ketika berdiri di dalam kandang tertuduh.
Mengikut pertuduhan, Jamil Khir yang ketika itu merupakan menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama, didakwa menyebabkan TH melupuskan aset masing-masing bernilai RM42.94 juta, RM288.17 juta dan RM529.19 juta kepada Al-Rawda Real Estate Development and Projects Management Co Ltd.
Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa berlaku pada 3 April 2015, 14 Disember 2016 dan 17 Ogos 2017 di pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Putrajaya serta Kompleks Islam Putrajaya.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan. - Getaran, 14 September 2026





![[VIDEO] Jamil Khir selesai bayar jamin, tekad bersihkan nama di mahkamah](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/e323da49-e6d9-4d59-9b07-b7a9279e84bc-1024x682.jpeg)
