Adat purbakala Negeri Sembilan bukan sekadar sejarah

LocalPolitics
2 Oct 2026 • 11:03 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Adat purbakala Negeri Sembilan bukan sekadar sejarah

SEREMBAN – Aturan dan adat Negeri Sembilan sejak zaman purbakala bukan sekadar tinggalan sejarah, sebaliknya terus mempunyai tempat dalam kerangka perlembagaan negeri menerusi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).

Perkara itu antara asas diketengahkan Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin dalam kenyataan rasmi hari ini bagi menjelaskan kedudukan serta peranan institusi Pembesar Memerintah dalam sistem pemerintahan unik Negeri Sembilan.

Menurut kenyataan berkenaan, Perkara 32 UUTKNS memperuntukkan bahawa aturan dan adat Negeri Sembilan zaman purbakala yang tidak bercanggah dengan bahagian berkenaan terus berjalan seperti dahulu.

Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin dalam kenyataan itu mengaitkan prinsip tersebut dengan Perjanjian 29 April 1898, yang menurut mereka membentuk struktur asas hubungan antara Yang di-Pertuan Besar dengan Undang Yang Empat.

Berdasarkan kenyataan bersama itu, Perjanjian 1898 menetapkan beberapa prinsip termasuk peranan Undang dalam pemilihan Yang di-Pertuan Besar serta kedudukan urusan dalaman setiap luak, yang menurut mereka tidak boleh dicampuri sewenang-wenangnya.

Dalam konteks pertikaian semasa, Undang Yang Empat menyatakan satu proses ‘enquiry’ telah dilaksanakan pada 5 Mac lalu sebelum tempoh pertimbangan selama 45 hari diberikan sehingga keputusan dibuat pada 19 April.

Menerusi keputusan itu, Undang Yang Empat menyatakan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir terhenti menjadi Yang di-Pertuan Besar pada 19 April lalu di bawah Perkara 10, manakala Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar dipilih pada hari sama sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 di bawah Perkara 11.

Kenyataan itu seterusnya menyebut proklamasi berhubung keputusan tersebut disempurnakan dari aspek pentadbiran pada 3 Ogos dan kemudian diumumkan dalam Sidang Khas pada 5 September.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada September turut bersetuju bahawa proklamasi bertarikh 19 April itu sah dan berkuat kuasa, namun tafsiran mengenai kuasa dan hubungan antara institusi Yang di-Pertuan Besar dengan Undang telah menjadi perbahasan awam. – KOSMO! ONLINE

The post Adat purbakala Negeri Sembilan bukan sekadar sejarah appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved