
Kemelut berhubung kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, masih belum berakhir apabila berlaku percanggahan pendirian antara kerajaan negeri, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) serta Istana Negeri Sembilan.
Krisis itu tercetus susulan Proklamasi 19 April lalu yang didakwa menurunkan Tuanku Muhriz daripada takhta dan mengiktiraf Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang Dipertuan Besar yang baharu.
Bagaimanapun, pada 17 September lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) menyatakan proklamasi berkenaan tidak sah kerana gagal memenuhi keperluan mandatori di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
AGC turut menegaskan bahawa Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menurunkan atau mengosongkan jawatan Yang Dipertuan Besar.
Menurut AGC, kesahan dan kesan undang-undang proklamasi itu perlu ditentukan menerusi proses perlembagaan dan undang-undang yang sah, khususnya berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Pendirian itu selari dengan kenyataan DKU yang pada 17 September menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan tiada kekosongan pada jawatan berkenaan.
Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin, berkata Perkara 16 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 memberikan bidang kuasa kepada DKU dalam perkara berkaitan adat Melayu, termasuk pemilihan, pelantikan, peletakan jawatan dan pemecatan Yang Dipertuan Besar serta Undang.
Beliau berkata Exco dan kerajaan negeri tidak mempunyai bidang kuasa menentukan kesahan proklamasi atau kedudukan Yang Dipertuan Besar.
Kemelut itu kemudian memasuki fasa baharu apabila 10 anggota Exco negeri mengeluarkan kenyataan pada 16 September yang menerima proklamasi berhubung penurunan Tuanku Muhriz.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Ismail Lasim, kemudian mengesahkan bahawa kerajaan negeri telah membincangkan perkara itu dan mengambil pendirian berhubung proklamasi berkenaan.
Bagaimanapun, pendirian tersebut dipertikaikan oleh DKU dan AGC.
Pada 20 September, Tuanku Muhriz kemudian membatalkan pelantikan 10 anggota Exco berkenaan berkuat kuasa serta-merta atas alasan mereka melanggar sumpah jawatan.
Pembatalan itu kemudiannya diwartakan pada 24 September dan berkuat kuasa mulai 20 September.
Kesemua 10 anggota Exco berkenaan terdiri daripada tujuh wakil UMNO serta masing-masing seorang daripada MCA, PAS dan Wawasan.
Menurut warta berkenaan, anggota Exco terbabit memegang jawatan dengan perkenan Yang Dipertuan Besar berdasarkan Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Pada 26 September, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, turut mengesahkan pembatalan pelantikan 10 anggota Exco itu sah mengikut peruntukan undang-undang negeri.
Beliau berkata Perkara 38(5) memperuntukkan bahawa anggota Exco selain Menteri Besar memegang jawatan selama diperkenankan Yang Dipertuan Besar.
Dalam perkembangan sama, Menteri Besar sebelum ini dilaporkan mempertikaikan pembatalan pelantikan anggota Exco berkenaan, sekali gus menambah ketegangan dalam pentadbiran negeri.
Pendirian Tuanku Muhriz Mengenai Rasuah
Sebelum kemelut berhubung kedudukan baginda tercetus, Tuanku Muhriz pada 14 Januari lalu menyatakan kebimbangan terhadap gejala rasuah dan kekecewaan terhadap pihak yang terus memberikan sokongan kepada individu yang telah disabitkan atas kesalahan rasuah.
Baginda menyifatkan rasuah sebagai musuh utama kepada keadilan, amanah dan masa depan negara serta mengingatkan bahawa perbuatan itu tidak boleh diterima dalam sebuah negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang.
Kenyataan itu dibuat ketika Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Hari Keputeraan ke-78 baginda di Istana Besar Seri Menanti.
Perkembangan sejak April itu kini menyaksikan isu kedudukan Yang Dipertuan Besar turut melibatkan persoalan berkaitan tafsiran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, bidang kuasa DKU dan peranan kerajaan negeri.
Setakat ini, AGC dan DKU masing-masing telah menyatakan bahawa Exco serta Menteri Besar tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menentukan kedudukan Yang Dipertuan Besar, manakala Tuanku Muhriz kekal menjalankan fungsi sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. - Getaran, 2 Oktober 2026






