
MAJLIS perkahwinan bukan sahaja meraikan pasangan raja sehari atau menjalin hubungan antara dua keluarga semata-mata, sebaliknya ia juga merupakan satu platform memartabatkan adat resam dan budaya setempat agar warisan etnik itu tidak ditelan zaman.
Menariknya, suasana majlis perkahwinan pasangan pengantin baru-baru ini di Kampung Piasau, Kota Belud sangat meriah apabila menjadi tumpuan tetamu menerusi pelbagai acara adat tradisi serta budaya yang sememangnya sinonim dengan masyarakat Dusun Tindal di daerah itu.
Ketua Kampung, Limpu Miod, 70, berkata acara adat ini dijalankan pada majlis ‘keramaian’ iaitu selepas kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan selesai menjalankan upacara perkahwinan di gereja bagi yang beragama kristian atau pun di masjid bagi yang beragama muslim.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Kebiasaannya bagi di gereja, selepas tiba di rumah pengantin perempuan dan keramaian pun bermula, pasangan pengantin akan menukar pakaian mereka yang dipakai di tempat ibadat seperti sut hitam bagi pengantin lelaki dan gaun putih bagi pengantin perempuan kepada pakaian tradisi”.
“Di daerah (Kota Belud) ini, khususnya bagi kaum etnik Dusun Tindal, Bajau Samah dan Iranun, mereka akan memakai pakaian tradisi dikenali ‘Sinipak’ dan acara adat akan bermula sebaik mereka mengenakan pakaian terbabit,” ujarnya.
Menurut Limpu, pasangan pengantin serta beberapa pasangan pengapit akan dibawa menaiki ‘kereta perahu’ iaitu sebuah kenderaan pacuan empat roda yang ditambah reka bentuknya agar kelihatan seperti perahu selain dihiasi kain warna-warni mengikut corak pakaian tradisi.
Sejak zaman dahulu ketika tiadanya alat teknologi seperti telefon dan internet, kaedah ini digunakan untuk memaklumkan penduduk kampung sebagai tanda jemputan untuk bersama-sama meraikan majlis perkahwinan.
Di zaman serba moden ini, kaedah itu masih diamalkan agar identiti dan tradisi suku kaum Dusun Tindal tidak mudah ditelan peredaran teknologi semasa.
“Pasangan pengantin ini akan dibawa mengelilingi kawasan kampung sebelum berarak untuk kembali ke halaman rumah pengantin perempuan atau lokasi majlis keramaian bagi menyambut penyatuan antara kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan”.
“Sepanjang acara itu juga, pasangan pengantin akan diiringi dua lagi pasangan pengapit serta paluan alat muzik tradisional seperti gong, gendang dan kulintangan.
Ketika ini, banyak tetamu khususnya dari dalam mahu pun luar daerah yang menyaksikan acara itu berasa teruja,” katanya sambil menambah perarakan itu berakhir selepas mengelilingi tiang ‘Sipak Manggis’ sebanyak tiga kali.
Sipak Manggis, permainan tradisi yang hampir menyerupai sepak takraw ini sangat terkenal dimainkan sejak dahulu oleh semua suku kaum seperti Dusun, Bajau dan Iranun pada majlis keramaian di Kota Belud.
Namun uniknya, berbeza dengan sepak takraw, pengantin lelaki akan menyepak bola yang dilontarkan oleh pengantin perempuan ke arah ‘rumah kecil’ yang dihias warna-warni dalam keadaan tergantung pada tiang buluh dengan ketinggian kira-kira 15 meter.
Selepas turun dari kereta perahu, pasangan pengantin dan pengapit akan melilingi tiang Sipak Manggis lalu sebaik sepakan dilakukan sebanyak tiga kali, maka majlis perkahwinan itu juga sah dirasmikan oleh pasangan pengantin sendiri.
Permainan yang diadakan di halaman rumah pengantin perempuan ini seterusnya disambung bagi memberi peluang kepada pihak keluarga, saudara-mara pengantin serta tetamu yang hadir untuk merebut hadiah lumayan yang disediakan pihak pengantin.
Dengan penyertaan tetamu, ia sekali gus memupuk semangat persaudaraan baharu dan mengeratkan hubungan antara keluarga pihak pengantin serta menjalin perpaduan antara masyarakat.
Menurut penduduk, pada zaman dahulu perkataan ‘sipak’ diambil daripada cara bermain seperti sepak takraw manakala ‘manggis’ adalah buah manggis yang diisi dalam replika rumah kecil atau bakul yang digantung pada tiang.
Namun, buah manggis kini jarang digunakan dan digantikan dengan wang kertas atau hadiah yang lumayan mengikut permintaan keluarga pengantin perempuan.
Pada masa sama, acara ‘Rebut Mahligai’ turut disediakan untuk kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah. Pelbagai jenis makanan ringan seperti gula-gula, snek, coklat dan keropok serta sampul berisi wang kertas digantung menggunakan benang yang disusun rapi pada rangka mahligai.
Kebiasaannya, hampir semua kanak-kanak tidak akan melepaskan peluang mengikuti permainan kerana masing-masing berpeluang mendapatkan ‘isi’ mahligai yang berjumlah sangat banyak. Ibu bapa juga tidak perlu berasa risau kerana keselamatan permainan ini akan dipantau oleh orang dewasa serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Seterusnya, tarian Sumazau yang dipersembahkan sekumpulan penari kebudayaan yang juga merupakan saudara terdekat pengantin. Kedua pengantin beserta pihak keluarga juga akan turut menyertai tarian secara berpasangan dengan paluan alat muzik tradisional.
Sementara itu, keluarga sebelah pihak lelaki dikenali Rayner, 25, berkata, upacara perkahwinan yang disusuli majlis keramaian penuh adat ini menjadikan sambutan cukup unik dan harmoni.
“Rombongan kami yang kebanyakkannya merupakan etnik Dusun Liwan dari Kiulu, Tuaran ini sangat bertuah kerana berpeluang meraikan majlis perkahwinan abang saya sendiri dalam suasana yang lebih istimewa berikutan terdapat beberapa acara adat dan budaya yang berbeza walaupun kebanyakkannya masih sama seperti bahasa, tarian dan masakan”.
“Apa yang menarik, ini adalah kali pertama saya merasai sendiri pengalaman menaiki ‘kereta perahu’ sebagai pengapit dan berpakaian tradisi Sinipak serta bermain ‘Sipak Manggis’.
“Suasana menjadi sangat meriah dengan kehadiran lebih 500 tetamu apatah lagi majlis yang diisi dengan pelbagai acara menarik untuk mengeratkan hubungan persaudaraan antara satu sama lain.
Majlis yang diakhiri dengan acara potong kek itu turut menyediakan hadiah tiket bertuah kepada tetamu dan acara minuman tradisi bagi yang bukan beragama muslim manakala bagi yang beragama muslim digantikan dengan minuman lain.

