Pelakon dan usahawan, Syifa Melvin tampil mempertahankan adiknya, Syida Melvin susulan pertikaian yang tercetus antara Syida dengan bekas suaminya, Syafiq Azim sehingga menjadi perhatian ramai di media sosial.
Menerusi perkongsian di Threads, Syifa meluahkan rasa berang terhadap segelintir netizen yang mempersoalkan tindakan ahli keluarga mencampuri urusan rumah tangga adiknya.
Menurut Syifa, dia tidak sanggup hanya berdiam diri sekiranya keselamatan adiknya terancam, lebih-lebih lagi apabila melibatkan ahli keluarga sendiri.
“Siapa yang cakap ‘adik-beradik tak payah masuk campur’, kau boleh diam. Kau nak tengok adik aku kena tikam sampai berdarah, kena pukul dengan orang gila dulu ke baru nak diam?
“Kalau adik-beradik kau tak menyokong dan tak melindungi kau, jangan cakap macam ni!” tulisnya.

Perkongsian tersebut dipercayai dibuat susulan kontroversi membabitkan Syida yang sebelum ini tular selepas video pertelingkahannya dengan bekas suami di sebuah kediaman tersebar di media sosial.
Syida sebelum ini menjelaskan bahawa dia mahu kembali menetap di kediaman yang pernah didiami bersama Syafiq demi memastikan tiga anak mereka mempunyai tempat tinggal lebih stabil.
Menurut Syida, dia sudah lapan bulan meninggalkan rumah berkenaan bersama anak-anak kerana mendakwa berdepan tekanan emosi dan layanan buruk sepanjang tempoh perkahwinan.
“Aku keluar sebab nak lindungi mental, fizikal dan pemikiran anak-anak aku.
“Sebab penderaan emosi. Kena caci maki dan hina, itu benda biasa bagi dia,” dakwanya.

Untuk rekod, Syida dan Syafiq dilaporkan bercerai talak satu pada 12 Ogos lalu selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.
Hasil perkahwinan tersebut, pasangan berkenaan dikurniakan tiga cahaya mata.
Sumber: Threads Syifa Melvin





