Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Selepas lapan bulan mendiamkan diri dan memendam rasa, selebriti media sosial Syida Melvin akhirnya hilang kesabaran apabila tampil mendedahkan derita yang ditanggung sepanjang proses penceraian serta perebutan hak kediaman bersama bekas suaminya, Syafiq Azim.
Menerusi sesi live di media sosial, Syida menegaskan bahawa tindakannya keluar dari rumah sejak April lalu bukanlah untuk menunjuk drama atau mencari publisiti murahan, sebaliknya terpaksa dilakukan demi menyelamatkan mental dan emosi diri serta anak-anak.
Artikel berkaitan: “Pengemis dalam company sendiri” – Syida Melvin Dedah Ditindas Suami Narsistik?
Artikel berkaitan: “Tujuan kau bukan nak menang lawan dia” – Cik Epal Kongsi Tips Nak Lawan Orang Narsistik
“Dah lapan bulan aku sabar, simpan semua rasa sebab nak jaga hati banyak pihak. Tapi bila anak-anak jadi mangsa, tempat tinggal dirampas dan kunci rumah ditukar sesuka hati, sampai bila aku nak diam?
Ini bukan gimik nak launch produk baru macam yang dituduh, aku cuma nak tuntut hak untuk anak-anak ada tempat berteduh yang selesa,” luahnya.
Menurutnya, beliau sudah tidak sanggup lagi berdepan dengan deraan emosi (emotional abuse), selain mendakwa sering dicaci maki dan dihina miskin oleh pihak sana.
Lebih menyayat hati, Syida mendakwa terpaksa merempat dan menumpang di rumah keluarga di kampung serta kediaman kakaknya selama empat bulan. Keadaan itu menyebabkan kelengkapan anak-anak terabai dan mereka tidak dapat menghadiri sesi persekolahan dengan sempurna.
Isu pertikaian ini semakin tegang apabila tempoh iddahnya kini sudah pun berakhir dan beliau menuntut hak untuk kembali menetap di rumah berkenaan demi anak-anak. Walau bagaimanapun, Syida mendakwa bekas suaminya berkeras enggan keluar dari kediaman tersebut, malah sempat memanggil tukang kunci untuk menukar keseluruhan kunci rumah sebaik sahaja mendapat tahu beliau mahu pulang.
Walaupun pelbagai tindakan undang-undang dan surat tuntutan rasmi daripada peguam telah dihantar, Syida mendakwa bekas suaminya tetap berkeras kepala. Keadaan itu akhirnya memaksa beliau bersuara secara terbuka demi menuntut hak tempat berteduh yang selesa buat anak-anaknya.
Sumber: Threads
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.






