SCIB meterai perjanjian pembangunan projek kediaman, komersial di Bintulu

6 Jan 2026 • 2:17 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SCIB meterai perjanjian pembangunan projek kediaman, komersial di Bintulu image is not available liza06/01/2026 - 14:17 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Jan – Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) memeterai perjanjian pembangunan bagi melaksanakan projek bercampur merangkumi komponen kediaman dan komersial di Bintulu, Sarawak yang memperluaskan operasi perniagaan kumpulan itu ke dalam sektor pembangunan hartanah.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, SCIB berkata projek tersebut akan dilaksanakan melalui anak syarikat milik penuhnya, SCIB Development Sdn. Bhd.

 

“Ia dilaksanakan dengan kerjasama pemilik tanah berdaftar bagi Lot 88, Daerah Tanah Kemena, iaitu sebidang tanah kosong seluas kira-kira 11.1 hektar yang terletak di Sungai Sibiau, Bintulu.

 

“Tanah berkenaan dirancang untuk dibangunkan sebagai sebuah projek bercampur yang merangkumi pembangunan kediaman dan komersial berdasarkan kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

 

“Pelaksanaan pembangunan dijangka dilakukan dalam tiga fasa, bermula dengan pembinaan unit kediaman, diikuti pembangunan komersial pada peringkat seterusnya,” kata SCIB dalam makluman tersebut.

 

Di bawah perjanjian tersebut, SCIB Development akan bertindak sebagai pemaju projek dan bertanggungjawab terhadap perancangan, proses kelulusan serta pelaksanaan kerja-kerja pembangunan. 

 

Pemilik tanah pula berhak menerima 23% daripada nilai pembangunan kasar (GDV) projek berdasarkan terma yang dipersetujui bersama.

 

SCIB memaklumkan bahawa projek itu masih berada pada peringkat perancangan awal dan oleh itu, nilai keseluruhan pembangunan serta sumbangan kewangannya kepada kumpulan belum dapat ditentukan.

 

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif SCIB Datuk Chong Loong Men berkata perjanjian berkenaan selari dengan strategi jangka panjang kumpulan untuk mempelbagaikan asas perniagaannya.

 

“Projek ini membolehkan kami mengembangkan jejak langkah ke dalam pembangunan hartanah sambil memanfaatkan keupayaan kejuruteraan dan pembinaan yang telah lama dibangunkan oleh kumpulan. 

 

“Bintulu kekal sebagai lokasi strategik dan kami percaya kerjasama ini meletakkan SCIB pada kedudukan yang baik untuk pertumbuhan mampan dalam tempoh sederhana hingga panjang,” katanya.

 

Menurut SCIB, projek tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kumpulan untuk membina platform perniagaan yang lebih pelbagai dan berdaya tahan, dengan menggabungkan kepakaran pembinaan sedia ada bersama peluang pembangunan hartanah yang dipilih secara strategik.

 

Seiring dengan kemajuan perancangan dan pencapaian pencapaian utama projek, SCIB menjangkakan pembangunan itu akan menyumbang secara bermakna kepada strategi pertumbuhan jangka panjang kumpulan, selain mewujudkan nilai tambah kepada komuniti setempat di Bintulu. - DagangNews.com

Terkini standard