
KUALA LUMPUR: Kehadiran pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Nurul Syazwani Noh ke Perhimpunan Agung UMNO sekadar memenuhi jemputan daripada Ketua Wanita, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Nurul Syazwani yang hadir mengenakan pakaian seperti Wanita UMNO menjelaskan, beliau menghormati jemputan tersebut, malah tidak berasa kekok berada dalam ‘lautan merah’ berikutan dirinya juga daripada parti UMNO sebelum ini.
“Saya hanya penuhi jemputan, sama ada pemimpin Bersatu tahu atau tidak, ini tindakan peribadi saya dan tiada kena mengena dengan parti.
“Walaupun saya kini pemimpin Bersatu, namun saya masih mempunyai hubungan baik dengan pemimpin UMNO, jadi saya tiada masalah daripada segi itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimana pun katanya lagi, beliau tidak berhajat untuk menyertai UMNO pada saat ini dan konsisten menjalankan amanah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang.
“Kalau hendak sertai UMNO pada waktu sekarang ini tidaklah kerana saya memegang mandat rakyat di kawasan.
“Tetapi apa pun, tunggu selepas pembubaran lah, baru boleh cerita panjang,” katanya.
Mengulas tentang penyatuan Melayu yang menjadi fokus UMNO, katanya beliau terbuka mengenai pandangan tersebut, malah mendukung hasrat tersebut sejak dulu lagi.
“Saya bukan kepimpinan tertinggi parti, namun saya terbuka dan tidak pernah menghalang jika penyatuan Melayu ini berlaku. Pendirian saya, seharusnya semua parti Melayu mesti duduk bersama.
“Seperti di Negeri Sembilan dan Melaka, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bekerjasama.
“Untuk di Melaka kita tidak tahu bagaimana, tetapi saya harapkan penyatuan Melayu itu berlaku demi kepentingan semua,” katanya. –UTUSAN
The post ADUN Bersatu hadir Perhimpunan Agung UMNO, penuhi jemputan Noraini appeared first on Utusan Malaysia.






