liza16/11/2026 - 18:17 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Nov – AEON Credit Service (M) Berhad menerbitkan Sukuk Senior bernilai RM460 juta menerusi Program Sukuk Wakalah bernilai RM10 bilion bagi membiayai penyaluran pembiayaan kepada pelanggan serta membiayai semula pinjaman sedia ada syarikat.
Penerbitan pada 16 November 2026 itu merupakan siri ke-14 di bawah program sukuk berkenaan yang sebelum ini dinaikkan nilainya kepada RM10 bilion daripada RM5 bilion.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, AEON Credit berkata penerbitan terbaharu itu dibahagikan kepada dua tranche, masing-masing bernilai RM325 juta dan RM135 juta.
“Tranche pertama bernilai RM325 juta mempunyai tempoh matang tiga tahun dari tarikh penerbitan, manakala tranche kedua bernilai RM135 juta mempunyai tempoh matang lima tahun,” katanya.
Dana untuk pembiayaan pengguna dan pembiayaan semula
Hasil penerbitan Sukuk Senior itu akan digunakan untuk membiayai penyaluran pembiayaan kepada pelanggan dalam operasi biasa syarikat yang menyediakan kemudahan pembiayaan pengguna berlandaskan prinsip Syariah.
Selain itu, sebahagian daripada dana berkenaan boleh digunakan untuk membiayai semula pinjaman atau kemudahan pembiayaan sedia ada AEON Credit, termasuk sukuk yang pernah diterbitkan oleh syarikat.
Syarikat turut menjelaskan bahawa semua penggunaan hasil daripada Program Sukuk Wakalah itu perlu mematuhi prinsip Syariah.
Program Sukuk Wakalah berkenaan membolehkan AEON Credit menerbitkan Sukuk Senior dan/atau Sukuk Subordinat sehingga nilai nominal keseluruhan RM10 bilion.
Penerbitan ke-14 sejak 2020
Berdasarkan rekod penerbitan yang dilampirkan dalam pengumuman itu, AEON Credit mula menerbitkan sukuk di bawah program berkenaan pada Februari 2020 menerusi terbitan pertama bernilai RM500 juta.
Sejak itu, syarikat meneruskan beberapa siri penerbitan dengan nilai berbeza, termasuk RM600 juta pada Mac dan September 2025 serta RM550 juta pada Mei 2026.
Penerbitan terbaharu bernilai RM460 juta pada 16 November 2026 itu menjadikan keseluruhan 14 siri sukuk yang diterbitkan di bawah program berkenaan. - DagangNews.com





