LPT3 tidak guna model pembiayaan hibrid, kos pembinaan dijangka melebihi RM10 bilion

LocalPolitics
11 Nov 2026 • 12:11 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

LPT3 tidak guna model pembiayaan hibrid, kos pembinaan dijangka melebihi RM10 bilion Image from: LPT3 tidak guna model pembiayaan hibrid, kos pembinaan dijangka melebihi RM10 bilion hamden11/11/2026 - 12:11 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Nov – Kerajaan tidak bercadang menggunakan model pembiayaan hibrid iaitu gabungan suntikan dana terus kerajaan dan modal sektor swasta bagi pembangunan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), sebaliknya akan melaksanakan projek sepanjang 122 kilometer (km) itu menerusi kerjasama awam-swasta (PPP), dengan pihak yang berjaya memperoleh tender menanggung keseluruhan kos pembinaan.

 

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, kos pembinaan LPT3 yang dianggarkan RM9.8 bilion menerusi kajian awal antara 2020 hingga 2022 dijangka meningkat melebihi RM10 bilion berdasarkan keadaan semasa.

 

Beliau berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan komitmen pelaburan sedia ada dalam projek infrastruktur pengangkutan utama di Pantai Timur sebelum menentukan kaedah pembiayaan LPT3.

 

"Pembiayaan hibrid merupakan sesuatu yang baharu. Bagaimanapun, LPT3 perlu dipertimbangkan bersama semua projek infrastruktur yang telah diumumkan dan dilaksanakan kerajaan.

 

"Setakat ini, tiada cadangan pembiayaan hibrid dikemukakan," katanya ketika menjawab soalan tambahan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) di Dewan Rakyat pada Rabu.

 

Artikel berkaitan: LPT3 Terengganu-Kelantan: Kerajaan digesa guna model pembiayaan hibrid seperti Juru–Sungai Dua di Pulau Pinang

 

Wan Hassan ingin mengetahui mengapa kerajaan tidak mempertimbangkan model pembiayaan seperti yang digunakan bagi projek pelebaran jalan di laluan Juru-Sungai Dua, Pulau Pinang.

 

Model berkenaan dilaksanakan menerusi Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (Pikas 2030), dengan 60% pembiayaan disediakan kerajaan manakala baki 40% diperoleh daripada institusi seperti PLUS Malaysia Bhd.

 

Pelaburan infrastruktur di Pantai Timur

Ahmad berkata, antara pelaburan infrastruktur utama kerajaan di Pantai Timur termasuk Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai bernilai RM2.3 bilion yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan dan disasarkan siap pada penghujung 2027.

 

Selain itu, projek Laluan Tengah Utama (CSR) bernilai RM7.7 bilion turut dibiayai kerajaan tanpa mengenakan tol, dengan penyiapannya dijangka pada pertengahan 2028.

 

Kerajaan juga sedang melaksanakan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM52.43 bilion sebagai sebahagian daripada pembangunan rangkaian pengangkutan di kawasan berkenaan.

 

Mengenai pelaksanaan LPT3, Ahmad berkata, kerajaan memutuskan supaya projek itu dilaksanakan melalui proses Permintaan Cadangan (RFP) secara kompetitif di bawah model PPP.

 

Kementerian Kerja Raya telah mengemukakan Pernyataan Keperluan kepada Unit Kerjasama Awam Swasta (Ukas) di bawah Jabatan Perdana Menteri.

 

Ukas kini sedang menyediakan dokumen RFP sebelum cadangan berkenaan dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri.

 

LPT3 yang dicadangkan akan menghubungkan Kampung Gemuruh di Terengganu dengan Tunjong di Kelantan, sekali gus melengkapkan rangkaian Lebuhraya Pantai Timur sedia ada. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved