Affin Group catat untung bersih RM127.52 juta pada suku kedua

Business & Finance
15 Aug 2026 • 7:04 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Affin Group catat untung bersih RM127.52 juta pada suku kedua

PETALING JAYA: Affin Bank Bhd. (Affin Bank) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM127.52 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, susut 11 peratus berbanding RM143.49 juta yang direkodkan pada suku sama tahun sebelumnya.

Penurunan keuntungan itu disebabkan oleh elaun kerugian penurunan nilai yang lebih tinggi serta bahagian keputusan yang lebih rendah daripada syarikat bersekutu.

Hasil suku tahunan kumpulan bagaimanapun meningkat lima peratus kepada RM647.21 juta berbanding RM616.3 juta pada suku kedua 2025.

Bagi tempoh kumulatif separuh pertama (1H2026), kumpulan merekodkan keuntungan bersih RM263.02 juta berbanding RM267.57 juta bagi tempoh sama tahun lalu, manakala pendapatan bersih melonjak 12.2 peratus kepada RM1.30 bilion.

Pendapatan faedah bersih (NII) bagi tempoh 1H2026 merekodkan RM468.5 juta iaitu peningkatan 11.9 peratus berbanding RM418.8 juta, manakala pendapatan bukan faedah naik 7.3 peratus kepada RM348.7 juta.

Kumpulan turut merekodkan Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) separuh pertama sebanyak RM346.1 juta, susut sedikit 3.3 peratus daripada RM358.0 juta pada tempoh sama tahun lepas.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Group, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, konflik AS-Iran yang berlarutan telah memburukkan tekanan kos sara hidup di Malaysia serta menjejaskan sentimen dan perbelanjaan pengguna.

“Dalam mendepani cabaran ini, kumpulan telah mengetatkan lagi piawaian penajajaman kami.

“Kumpulan juga telah menerbitkan RM400 juta tambahan AT1CS pada Julai bagi memperkukuh kedudukan modal dan meningkatkan nisbah jumlah modal sebanyak 40 mata asas, sekali gus memberi daya tahan modal tambahan di tengah-tengah ketidakpastian global semasa.

“Di samping itu, perancangan deposit kami kekal kukuh disokong oleh peluang pemprosesan penggajian baharu yang sihat, manakala Akaun Pelaburan Bertempoh (TIA) mencatatkan pertumbuhan RM1.37 bilion atau 118 peratus pada separuh pertama 2026,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas mengenai prestasi operasi, jumlah pinjaman, pendahuluan dan pembiayaan kasar kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM84.1 bilion, manakala deposit pelanggan berkembang 3.0 peratus kepada RM81.1 bilion.

Jumlah aset Affin kini berdiri pada RM129.4 bilion, iaitu 10.6 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Dari segi kualiti aset, Nisbah Pinjaman Terjejas Kasar (GIL) kumpulan bertambah baik kepada 1.82 peratus berbanding 1.83 peratus pada 30 Jun 2025.

Nisbah Liputan Kerugian Pinjaman (LLC) dan Rizab Kerugian Pinjaman (LLR) masing-masing berada pada 71.16 peratus dan 116.80 peratus, menyediakan penampan risiko kredit yang kukuh.

Tambahnya, agenda transformasi digital kumpulan terus berjalan lancar susulan pelancaran platform Perbankan Internet Runcit baharu pada 6 Ogos lalu.

“Momentum ini akan diteruskan dengan rancangan pelancaran platform dompet digital pada suku ketiga 2026, disusuli pengenalan produk dan penyelesaian digital inovatif pada suku keempat 2026,” tambahnya. – UTUSAN

The post Affin Group catat untung bersih RM127.52 juta pada suku kedua appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved