hamden14/08/2026 - 16:01 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Ogos - Kumpulan Affin mencatat keuntungan sebelum cukai (PBT) RM346.1 juta bagi tempoh sehingga 30 Jun 2026, susut 3.3% atau RM11.9 juta berbanding RM358 juta pada tempoh sama sebelumnya, meskipun pendapatan bersih meningkat kukuh.
Pendapatan bersih kumpulan meningkat 12.2% tahun ke tahun kepada RM1.30 bilion, disokong peningkatan pendapatan faedah bersih (NII) serta pendapatan yuran dan komisen bersih.
NII meningkat 11.9% kepada RM468.5 juta berbanding RM418.8 juta pada tempoh sebelumnya, manakala perbelanjaan operasi meningkat sederhana 2.6%.
Keuntungan operasi sebelum peruntukan pula melonjak 33.5% kepada RM481.9 juta, manakala nisbah kos kepada pendapatan bertambah baik kepada 63% daripada 68.9% pada 1H25.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin, Datuk Wan Razly Abdullah, berkata kumpulan terus memperkukuh kedudukan modal bagi menghadapi ketidaktentuan global.
“Kumpulan telah menerbitkan tambahan RM400 juta sekuriti modal Tambahan Tahap 1 (AT1CS) pada Julai, mengukuhkan kedudukan modal dan meningkatkan nisbah jumlah modal sebanyak 40 mata asas.
“Ini menyediakan daya tahan modal tambahan dalam menghadapi ketidaktentuan global semasa,” katanya.
Prestasi Perniagaan
Dari segi perniagaan, jumlah pinjaman, pendahuluan dan pembiayaan kasar meningkat 13.6% tahun ke tahun kepada RM84.1 bilion, didorong pertumbuhan 17.3% dalam segmen Perbankan Perusahaan, 9.8% dalam Perbankan Komuniti dan 22.4% dalam Perbankan Korporat.
Pinjaman perumahan meningkat 7.5%, manakala pembiayaan automotif berkembang 4.3%.
Deposit pelanggan pula meningkat 3% kepada RM81.1 bilion, manakala jumlah aset kumpulan berkembang 10.6% kepada RM129.4 bilion.
Akaun semasa dan simpanan (CASA) meningkat 2.2% suku ke suku kepada RM21.6 bilion, walaupun nisbah CASA susut kepada 26.69% setakat 30 Jun 2026 berbanding 28.21% setahun sebelumnya.
Dari sudut kualiti aset, nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) bertambah baik sedikit kepada 1.82% daripada 1.83% pada 30 Jun 2025.
Kumpulan berkata kadar perlindungan kerugian kredit (LLC) dan nisbah perlindungan kerugian pinjaman (LLR) masing-masing berada pada 71.16% dan 116.80%, menyediakan penampan risiko kredit yang kukuh.
Affin Islamic Bank
Sementara itu, Affin Islamic Bank Bhd mencatat PBT RM133.9 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, merosot 27.8% daripada RM185.4 juta pada tempoh sama sebelumnya.
Penurunan itu disebabkan peruntukan kerugian kemerosotan nilai yang lebih tinggi sebanyak RM68.2 juta dan peningkatan perbelanjaan operasi RM27 juta, yang sebahagiannya diimbangi peningkatan pendapatan bersih RM43.7 juta.
Pendapatan bukan faedah Affin Islamic Bank meningkat 7.3% kepada RM348.7 juta daripada RM324.8 juta.
Dalam pada itu, Wan Razly berkata prospek pertumbuhan pelanggan deposit baharu kekal kukuh, dengan akaun pelaburan berjangka (TIA) meningkat RM1.37 bilion atau 118% pada 1H26.
Beliau berkata penerapan keperluan baharu Basel III bagi risiko kredit pada Disember 2026 dijangka meningkatkan kedudukan modal kumpulan sebanyak 30 mata asas.
Transformasi Digital Diteruskan
Affin turut meneruskan agenda transformasi digital dengan melancarkan platform Perbankan Internet Runcit baharu pada 6 Ogos, yang direka untuk menawarkan pengalaman perbankan lebih intuitif, lancar dan menarik.
“Kami akan meneruskan momentum ini dengan pelancaran platform e-dompet Affin pada 3Q26, diikuti produk dan penyelesaian digital inovatif lain pada 4Q26,” kata Wan Razly.
Setakat 30 Jun 2026, nisbah jumlah modal kumpulan berada pada 17.05%, nisbah modal Tahap 1 pada 14.58% dan nisbah modal Ekuiti Biasa Tahap 1 (CET1) pada 12.62%.
Nisbah perlindungan kecairan (LCR) pula kekal kukuh pada 152.3%, jauh melebihi keperluan kawal selia sebanyak 100%. - DagangNews.com





