hamden14/08/2026 - 14:43 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Ogos - CelcomDigi Bhd mencatat keuntungan bersih boleh diagihkan kepada pemegang saham sebanyak RM398 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY26), turun 9.3% berbanding RM439 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, susulan peningkatan perbelanjaan dan kerugian daripada usaha sama.
Penurunan itu turut dipengaruhi ketiadaan keuntungan daripada pelupusan aset yang direkodkan pada tahun sebelumnya.
Menurut pemfailan kepada Bursa Malaysia pada Jumaat, pendapatan sesaham (EPS) bagi suku berkenaan susut kepada 3.39 sen daripada 3.74 sen setahun sebelumnya.
Bagaimanapun, hasil meningkat marginal 0.3% kepada RM3.186 bilion daripada RM3.178 bilion, didorong pertumbuhan pelanggan dalam segmen pascabayar serta rumah dan gentian.
CelcomDigi turut mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 3.4 sen sesaham bagi FY2026, yang akan dibayar pada 29 September 2026.
Bagi tempoh enam bulan pertama (1HFY26), keuntungan bersih boleh diagihkan turun 2.8% kepada RM816 juta daripada RM823 juta, manakala hasil meningkat 0.1% kepada RM6.394 bilion berbanding RM6.388 bilion setahun sebelumnya.
Sementara itu, keuntungan sebelum faedah dan cukai (EBIT) 1HFY26 meningkat 0.6% tahun ke tahun kepada RM1.441 bilion, disokong pertumbuhan hasil perkhidmatan, perbelanjaan operasi yang lebih rendah serta pengurusan kos yang berkesan.
Sasaran FY2026 dikekalkan
CelcomDigi mengekalkan panduan FY2026 dengan menyasarkan pertumbuhan hasil perkhidmatan pada kadar satu digit rendah, pertumbuhan EBIT pada kadar satu digit rendah serta nisbah perbelanjaan modal (capex) kepada jumlah hasil antara 12% hingga 13%.
Kumpulan turut mengekalkan komitmen untuk mengagihkan dividen sekurang-kurangnya 80% daripada keuntungan bersih.
Dalam pada itu, CelcomDigi berkata pihaknya sedang meneruskan fasa akhir penyatuan teknologi maklumat (IT), yang akan mengintegrasikan sepenuhnya sistem pengebilan teras dan pengurusan hubungan pelanggan (CRM) menjelang separuh kedua 2027.
Integrasi itu dijangka meningkatkan pengalaman pelanggan serta kecekapan operasi kumpulan.
CelcomDigi kekal berada di landasan untuk mencapai penjimatan kos tahunan sekitar RM700 juta hingga RM800 juta selepas 2027, hasil daripada kecekapan yang terhasil daripada keseluruhan inisiatif integrasi.
Pascabayar dan gentian terus berkembang
Bagi 2QFY26, hasil segmen pascabayar meningkat 2.7% tahun ke tahun kepada RM1.102 bilion, didorong pertambahan 191,000 pelanggan kepada 6.1 juta, manakala purata hasil setiap pengguna (ARPU) kekal stabil pada RM60.
Segmen rumah dan gentian pula mengekalkan pertumbuhan dua digit apabila hasil melonjak 47.2% kepada RM95 juta, disokong pertambahan 79,000 pelanggan kepada 315,000.
ARPU segmen itu turut meningkat 8.4% kepada RM103, didorong permintaan terhadap pelan konvergensi.
Sebaliknya, hasil prabayar susut 3.2% kepada RM1.016 bilion berikutan jumlah pelanggan yang lebih rendah.
Namun, ARPU prabayar stabil pada RM28, disokong pengewangan yang lebih baik dan pemerolehan pelanggan berkualiti lebih tinggi.
Segmen penyelesaian perusahaan mencatat prestasi kukuh apabila hasil meningkat 19.7% tahun ke tahun, didorong kemenangan kontrak dalam bidang keselamatan siber dan digital.
Hasil mudah alih perusahaan meningkat marginal 0.3% suku ke suku, namun susut 9.9% tahun ke tahun akibat trafik SMS pukal yang lebih rendah. - DagangNews.com






