sarah23/10/2026 - 16:49 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Okt - AFFIN Group melantik Doreen Choo Choy Wan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AFFIN PHEIM Asset Management Group (AFFIN PHEIM), berkuat kuasa hari ini, bagi menerajui strategi pertumbuhan perniagaan pengurusan aset dan kekayaan kumpulan itu.
Pelantikan tersebut menyaksikan Doreen, yang mempunyai pengalaman hampir tiga dekad dalam industri pengurusan aset Malaysia, diberi tanggungjawab memperluas aset di bawah pengurusan (AUM), meningkatkan penguasaan pasaran serta memperkukuh perniagaan pelanggan institusi dan runcit.
AFFIN Group dalam kenyataan berkata, beliau juga akan memberi tumpuan kepada pengukuhan keupayaan pengedaran, mendapatkan mandat pelaburan strategik dan memperluas rangkaian produk pelaburan bagi menyokong pertumbuhan mampan serta menguntungkan.
Presiden dan CEO Kumpulan AFFIN Group, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, kepakaran industri, kepimpinan dan wawasan strategik Doreen dijangka memainkan peranan penting dalam mempercepat aspirasi pertumbuhan AFFIN PHEIM.
“Kami berbesar hati melantik Doreen Choo sebagai CEO Kumpulan AFFIN PHEIM. Kepimpinan, kepakaran industri dan wawasan strategik beliau akan memainkan peranan penting ketika kami mempercepat aspirasi pertumbuhan kumpulan serta mengukuhkan kedudukan dalam keseluruhan rantaian pengurusan aset dan kekayaan,” katanya.
Doreen memiliki Ijazah Sarjana Muda Sastera (Ekonomi) dengan Kepujian Kelas Pertama dari Universiti Malaya dan merupakan pemegang kelayakan Chartered Financial Analyst (CFA). AFFIN PHEIM, yang merangkumi AFFIN PHEIM Islamic Asset Management Sdn Bhd dan AFFIN PHEIM Unit Trusts Berhad, akan terus menyokong strategi pertumbuhan AFFIN Group selaras dengan Pelan AFFIN Axelerate 2028. - DagangNews.com






