Agenda Malaysia Biru akan diterjemahkan dalam manifesto BN

LocalPolitics
12 Sep 2026 • 4:10 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Agenda Malaysia Biru akan diterjemahkan dalam manifesto BN

KUALA LUMPUR: Agenda Malaysia Biru yang menggariskan lapan ikhtiar utama akan diterjemahkan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, agenda yang diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi itu mengetengahkan usaha yang mahu dilaksanakan bagi menghadapi cabaran semasa.

“Agenda Malaysia Biru sudah pasti akan diterjemahkan dalam manifesto BN.

“Yang Amat Berhormat Presiden meletakkan lapan ikhtiar atau usaha untuk kita mewujudkan apa yang disebut sebagai Malaysia Biru,” katanya ketika ditemui selepas melawat Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Menurut Zambry, Agenda Malaysia Biru membawa perkara yang mahu ditawarkan bagi menghadapi cabaran semasa dan memastikan negara terus berada dalam keadaan aman serta stabil.

Katanya, agenda itu juga mencerminkan kesungguhan UMNO dan BN dalam mendepani cabaran mutakhir termasuk perkembangan geopolitik dunia.

“Malaysia Biru membawa maksud perkara yang mahu kita bawa untuk negara bagi menghadapi cabaran-cabaran yang ada pada hari ini.

“Kelapan-lapan ikhtiar itu sangat penting bagi memastikan negara kita sentiasa aman dan stabil, selain menunjukkan kesungguhan untuk berhadapan dengan cabaran mutakhir,” katanya.

Beliau berkata, keadaan dunia yang semakin tidak stabil memerlukan perancangan teliti bagi memastikan Malaysia terus aman dan makmur.

Sehubungan itu, katanya, UMNO tidak seharusnya terjerumus dalam pertikaian politik semata-mata, sebaliknya perlu merangka penyelesaian tuntas bagi menghadapi cabaran akan datang.

“UMNO dan BN merupakan parti yang mentadbir negara sejak dahulu sehingga 2018. Pengalaman itu penting kerana ketika membicarakan soal politik, pada masa sama kita turut memikirkan soal negara.

“Mungkin terdapat kekurangan dan persoalan politik, tetapi perkara paling mustahak adalah parti yang sudah berusia 80 tahun ini perlu memandang ke hadapan,” katanya.

Zambry berkata, antara perkara penting yang terkandung dalam ucapan Presiden UMNO adalah usaha memantapkan kedudukan BN dan UMNO sebagai persediaan menghadapi pilihan raya.

Katanya, pilihan raya terdekat adalah di Melaka sebelum kemungkinan diikuti PRU, namun tarikhnya masih belum diketahui.

Mengulas perbahasan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2026, beliau berkata, perwakilan mengetengahkan pelbagai pandangan ketika membahaskan ucapan Presiden.

“Selain isu politik negara dan parti, wakil-wakil negeri turut membangkitkan perkara berkaitan negeri masing-masing untuk diberikan perhatian,” katanya. – UTUSAN

The post Agenda Malaysia Biru akan diterjemahkan dalam manifesto BN appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved