
KUALA LUMPUR – Daripada sekadar menghasilkan barangan di dalam negara, UMNO mahu Malaysia melangkah lebih jauh sebagai pencipta teknologi dan jenama sendiri yang mampu digunakan serta dipasarkan ke seluruh dunia.
Visi itu menjadi antara teras utama Agenda Malaysia Biru yang diketengahkan parti berkenaan sebagai tawaran baharu sekiranya UMNO bersama Barisan Nasional (BN) kembali diberi mandat menerajui Putrajaya.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, aspirasi itu diterjemahkan menerusi gagasan Negara Pencipta, satu daripada lapan ikhtiar utama yang digariskan dalam agenda berkenaan.
“Kita mahu dunia menggunakan teknologi ciptaan anak bangsa dan membeli jenama Malaysia.
“Kita mahu bergerak daripada Made in Malaysia kepada Made by Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, Agenda Malaysia Biru dirangka bagi membentuk sebuah negara yang berdaulat dan bersatu, inovatif serta berpendapatan tinggi selain memastikan kemakmuran rakyat diagihkan secara saksama.
Lapan ikhtiar yang digariskan merangkumi Negara Pencipta, Negara Berkemahiran, Negara Pemilik, Negara Sejahtera, Negara Berdaya Tahan, Negara Peduli, Negara Beramanah dan Negara Berdaulat.
Menerusi agenda Negara Berkemahiran, UMNO menetapkan sasaran supaya 80 peratus tenaga kerja Malaysia berada dalam kategori berkemahiran tinggi dan memperoleh gaji premium.
Dalam masa sama, Ahmad Zahid mahu ukuran kemajuan rakyat tidak lagi tertumpu kepada jumlah pendapatan semata-mata, sebaliknya mengambil kira pemilikan aset yang mampu menjana nilai dalam jangka panjang.
Ia termasuk pemilikan rumah, perusahaan, saham, harta intelek, simpanan dan aset produktif.
“Kita mahu bergerak daripada masyarakat yang hanya berpendapatan kepada masyarakat yang memiliki.
“Sasaran kita 60 peratus daripada rakyat dewasa Malaysia memiliki secara langsung sekurang-kurangnya satu aset yang menjana nilai,” katanya.
Bagi teras Negara Sejahtera pula, Ahmad Zahid mencadangkan kesejahteraan rakyat dinilai berdasarkan jumlah pendapatan boleh guna yang masih berbaki selepas keperluan asas sesebuah keluarga dipenuhi.
Menurutnya, sasaran yang mahu dicapai adalah memastikan setiap keluarga mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus pendapatan boleh guna untuk simpanan, pelaburan dan menikmati kehidupan.
“Kita mahu setiap keluarga mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus pendapatan boleh guna selepas memenuhi keperluan asas bagi menyimpan, melabur dan menikmati kehidupan,” katanya.
Dalam aspek daya tahan negara, beliau berkata, Malaysia perlu mencapai sekurang-kurangnya 70 peratus tahap kemandirian bagi keperluan strategik termasuk makanan, perubatan, telekomunikasi, tenaga, air, pertahanan serta industri strategik.
Ahmad Zahid turut meletakkan sasaran supaya Malaysia berada dalam kelompok 20 negara terbaik dunia dari segi integriti, tadbir urus dan kedaulatan undang-undang.
Pada peringkat antarabangsa, beliau mahu Malaysia muncul sebagai kuasa pertengahan yang berpengaruh tanpa mengorbankan kepentingan dan kedaulatan negara dalam menjalinkan kerjasama strategik.
“Malaysia juga mesti muncul sebagai kuasa pertengahan paling berpengaruh di dunia dengan setiap perjanjian strategik utama tetap mempertahankan kepentingan nasional,” katanya.
Agenda Malaysia Biru itu sekali gus menjadi kerangka tawaran UMNO untuk membawa pendekatan baharu dalam ekonomi, pemilikan kekayaan, pembangunan tenaga kerja, kesejahteraan rakyat, daya tahan negara dan tadbir urus sekiranya BN kembali menerajui kerajaan Persekutuan.
The post Agenda Malaysia Biru: UMNO mahu ubah Malaysia daripada ‘Made in’ kepada ‘Made by Malaysia’ appeared first on MYBERITA.






