Agenda reformasi tidak boleh berhenti selepas dapat kuasa - Mohamad

LocalPolitics
15 Aug 2026 • 4:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Agenda reformasi tidak boleh berhenti selepas dapat kuasa - Mohamad
Mohamad Sabu. Foto: Bernama

MELAKA - Agenda reformasi tidak boleh berhenti selepas mendapat kuasa, sebaliknya tadbir urus perlu terus diperbaiki termasuk melawan rasuah, kata Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu.

Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, amanah yang diberikan rakyat perlu dibuktikan menerusi kerja dan tindakan tanpa mengira kedudukan atau siapa yang terlibat.

"Yang ‘sakau’ duit rakyat, kita lawan. Tak kira siapa, tak kira kedudukan. Bagi Bang Mat, reformasi bukan sekadar slogan. Kita sudah diberi amanah. Sekarang masa untuk kita buktikan dengan kerja dan tindakan. Perjuangan masih panjang. Kita terus bekerja untuk rakyat dan negara,” katanya dalam hantaran Facebook pada Sabtu.

Mohamad berkata, beliau turut hadir mendengar amanat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini pada Sabtu yang turut menyentuh kelangsungan agenda reformasi.

Beliau berkata, kerajaan turut komited memperjuangkan hak rakyat Sabah dan Sarawak menerusi pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), selain memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat serta keupayaan menangani tekanan kos sara hidup.

Mengenai ekonomi, Mohamad berkata, angka pertumbuhan penting namun yang lebih utama ialah memastikan rakyat merasai peningkatan taraf hidup serta kerajaan mampu menangani tekanan kos sara hidup.

Beliau turut menyambut baik pengumuman pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang disifatkannya akan memberi ruang dan kebebasan lebih luas kepada mahasiswa. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved