ALOR SETAR - [KEMAS KINI] Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah lalu tidak seharusnya dijadikan sandaran terhadap formula agihan kerusi antara gabungan persefahaman Barisan Nasional (BN)- Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRN akan datang.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berpendapat, formula agihan kerusi tersebut sebaliknya perlu dinilai berdasarkan keadaan dan realiti semasa politik negeri itu.
Beliau yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Merbok menjelaskan, ia disebabkan perubahan pantas sentimen politik yang berlaku di mana keputusan PRN lalu tidak seharusnya dijadikan asas perbincangan pengagihan kerusi.
"Kedua-dua pihak harus berlapang dada menilai dan mengkaji sentimen politik selepas momentum PRN Johor dan Negeri Sembilan. UMNO Kedah percaya itulah indikator dan kayu ukur yang sebenarnya," katanya.
Bagaimanapun, Shaiful Hazizy berkata, sehingga kini, UMNO Kedah belum menerima sebarang arahan daripada pimpinan tertinggi parti bagi tindakan lanjut.
"Kita ketika ini mengambil pendekatan tunggu dan lihat, namun sehingga kini belum ada sebarang perbincangan dibuat.
"Namun sekiranya diarahkan UMNO Kedah tiada masalah untuk bekerjasama dalam apa jua ruang lingkup yang ditetapkan," jelas beliau.






