Agihan kerusi PN-BN perlu ambil kira semua negeri

LocalPolitics
8 Aug 2026 • 8:21 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Agihan kerusi PN-BN perlu ambil kira semua negeri

PETALING JAYA: Rundingan pembahagian kerusi antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu dilihat dalam konteks kerjasama yang lebih menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada satu negeri semata-mata.

Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, setiap parti mempunyai hasrat untuk mempertahankan kerusi masing-masing, namun semangat bertolak ansur perlu diutamakan bagi memastikan kerjasama politik antara parti-parti dalam gabungan dapat diperkukuhkan.

Beliau berkata, kejayaan membentuk “gelombang biru” yang bermula di Johor sebelum diteruskan di Negeri Sembilan perlu dijadikan asas dalam merangka strategi pembahagian kerusi menjelang pilihan raya akan datang.

“Dia begini, kalau kita fikir tentang kehendak parti, macam yang saya kata tadilah, kalau saya, saya nak pertahankan yang dua (Bemban dan Sungai Udang) ini. Kalau begitu caranya, bagaimana pula dengan kita parti-parti lain?

“Kalau kita ingin benar-benar bergabung, kita melihat dari segi gelombang biru yang telah bermula daripada Johor, kemudian diteruskan di Sembilan.

“Kalau kita nak teruskan gelombang itu, kita kena ada sikap bertolak ansur. Ini harus kita lakukan dan kita duduk bersama di antara semua presiden-presiden parti. Buat masa ini belum ada tarikh untuk kita tentukan bila, tapi Insya-Allah saya rasa dalam kehendak parti itu sendiri, betullah, masing-masing mahukan banyak.

“Tapi bila kita melihat dari segi kedudukan bukan hanya negeri Melaka semata-mata, tapi banyak lagi negeri-negeri lain yang akan kita juga mengambil kira, ketika itu nanti barulah boleh diberikan sikap bertolak ansur itu boleh berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Parti Wawasan Negara di sini, hari ini.

Hamzah berkata, rundingan kerusi akan diputuskan melalui perbincangan bersama semua presiden parti yang terlibat, dengan mengambil kira kepentingan gabungan secara keseluruhan bagi menghadapi pilihan raya di beberapa negeri pada masa depan.

Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan PN dan BN masih meneruskan rundingan berhubung pengagihan kerusi bagi menghadapi PRN Melaka.

Beliau berkata, kedua-dua gabungan telah mengadakan beberapa siri perbincangan awal dan proses itu akan diteruskan bagi mencari formula kerjasama yang dipersetujui bersama demi memastikan kekuatan gabungan pada pilihan raya berkenaan.

Sementara itu, BN menegaskan hasrat untuk mempertahankan kesemua 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenanginya pada pilihan raya lalu.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian itu dizahirkan oleh Ketua Menteri Melaka yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang bertekad memastikan semua 21 kerusi tersebut terus kekal di bawah penguasaan BN pada PRN akan datang.-UTUSAN

The post Agihan kerusi PN-BN perlu ambil kira semua negeri appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved