
KUALA PILAH: Lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) buat pertama kali dilantik menganggotai barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan, sekali gus membawa wajah baharu dalam pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.
Pelantikan itu menyaksikan lapan wakil Barisan Nasional (BN) dan dua daripada Perikatan Nasional (PN) mengangkat sumpah sebagai Exco dalam Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Exco di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, di sini, semalam.
Enam muka baharu daripada BN ialah ADUN Gemencheh, Suhaimizan Bizar; ADUN Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris; ADUN Sungai Lui, Datuk Mohd. Razi Mohd. Ali; ADUN Chennah, Siow Kong Choon, ADUN Labu, Siti Nur Umairah Hasim dan ADUN Lenggeng, Datuk Mohd. Asna Amin.
Dua lagi wakil PN yang dilantik ialah ADUN Serting, Mohd. Fairuz Mohd. Isa yang juga Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan serta ADUN Sikamat, Datuk Razali Abu Samah.
Pelantikan itu turut menyaksikan dua penyandang Exco dikekalkan iaitu ADUN Palong, Datuk Mustapha Nagoor dan ADUN Linggi, Datuk Mohd. Faizal Ramli.
Istiadat bermula bermula pukul 10 pagi di Balairung Seri Istana Besar Seri Menanti di sini.
Istiadat berkenaan turut dihadiri Ismail; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias serta beberapa ADUN Pakatan Harapan (PH).
Kerajaan Negeri Sembilan bakal melantik seorang pemimpin masyarakat India daripada MIC sebagai pegawai bertaraf Exco di bawah Pejabat Menteri Besar.
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, langkah itu bagi memastikan penglibatan serta suara masyarakat pelbagai kaum di negeri ini terus diberi ruang.
Ia susulan tiada wakil masyarakat India dalam barisan Exco yang mengangkat sumpah hari ini.
Katanya, pelantikan secara pentadbiran di bawah pihak berkuasa negeri itu akan diputuskan dalam mesyuarat Exco selepas pihak pimpinan MIC mengemukakan calon yang sesuai.
“Kami akan lantik seorang wakil masyarakat India daripada MIC di bawah pihak berkuasa negeri yang bertaraf Exco.
“Ini secara pentadbiran dan bukannya melalui angkat sumpah di istana, demi memberikan ruang kepada masyarakat pelbagai kaum di Negeri Sembilan,” katanya. – UTUSAN
Senarai penuh Exco Negeri Sembilan dan portfolio
Berikut merupakan senarai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan dan portfolio masing-masing
1. Datuk Ismail Lasim
Exco Hal Ehwal Agama Islam & Keselamatan
Exco Kewangan, Tanah & Sumber Asli
Exco Pelaburan, Infrastruktur, Utiliti, Komunikasi dan Felda
2. Datuk Mohd. Faizal Ramli
Exco Kemajuan Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah
3. Datuk Zaifulbahri Idris
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Modal Insan
4. Datuk Mustapha Nagoor
Exco Pembangunan Belia dan Sukan
5. Siow Kong Choon
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Hal Ehwal Bukan Islam
6. Siti Nur Umaira Hasim
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
7. Datuk Mohd. Asna Amin
Exco Perindustrian, Teknologi, Inovasi dan Digital
8. Datuk Mohd. Razi Mohd. Ali
Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup
9. Suhaimizan Bizar
Exco Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO
10. Mohd. Fairuz Mohd. Isa
Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan
11. Datuk Razali Abu Samah
Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan
The post Lapan muka baharu anggotai Exco Negeri Sembilan appeared first on Utusan Malaysia.






