
PETALING JAYA – Ahli Parlimen Subang, Wong Chen mengumumkan peletakan jawatannya sebagai wakil rakyat kawasan itu berkuat kuasa pukul 5 petang, hari ini.
Wong Chen berkata, surat peletakan jawatan berkenaan telah diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 5 Ogos lalu.
Katanya, tarikh kuat kuasa hari ini ditetapkan bagi memberi tempoh tiga hari bekerja kepada pegawai Parlimen untuk membuat persediaan berkaitan kekosongan kerusi Parlimen Subang.
“Pada 5 Ogos, saya bertemu dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan menyerahkan surat peletakan jawatan saya sebagai Ahli Parlimen, berkuat kuasa 10 Ogos pada pukul 5 petang.
“Ini bagi memberi pegawai Parlimen tempoh tiga hari bekerja untuk membuat persediaan bagi kekosongan kerusi Parlimen Subang,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Wong Chen, beliau dan pihak berkaitan turut mempunyai persetujuan untuk tidak mendedahkan sebarang butiran mengenai peletakan jawatan itu sehingga pukul 5 petang hari ini.
Dalam surat yang dikongsikan bersama hantaran tersebut, Wong Chen memaklumkan, beliau secara sukarela meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Rakyat sekali gus mengosongkan kerusi P.104 Parlimen Subang.
Beliau turut memaklumkan gelaran kehormat ‘Yang Berhormat’ akan dikeluarkan daripada semua papan iklan, papan tanda serta urusan surat-menyurat berkaitan dirinya selewat-lewatnya bulan depan.
“Kami juga akan mengeluarkan gelaran Yang Berhormat daripada semua papan iklan, papan tanda dan surat-menyurat menjelang bulan depan,” katanya.
Wong Chen dalam masa sama memaklumkan beliau akan mengadakan sidang akhbar pada Rabu ini, pukul 11 pagi.
Sebelum ini kedudukan politik Wong Chen dalam PKR menjadi perhatian termasuk susulan penyertaannya dalam program politik melibatkan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Pada Jun lalu, Wong Chen mendedahkan beliau menerima surat tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin PKR berhubung kehadirannya dalam program berkenaan.
Beliau ketika itu turut mencabar kepimpinan PKR supaya memecatnya daripada parti sekiranya mempunyai alasan untuk berbuat demikian, namun menegaskan tidak perlu meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Subang.
Sebelum itu, Wong Chen turut memberi bayangan sedang mempertimbangkan masa depan politiknya termasuk kemungkinan meninggalkan PKR, namun mahu mendapatkan pandangan penduduk Subang serta keluarganya sebelum membuat keputusan. – KOSMO! ONLINE
The post Wong Chen letak jawatan Ahli Parlimen Subang appeared first on Kosmo Digital.






