Ahli PKR buat laporan polis terhadap Ridhuan Tee, dakwa sentuh isu 3R

LocalPolitics
4 Aug 2026 • 3:46 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Satu laporan polis telah dibuat terhadap pendakwah Ridhuan Tee Abdullah susulan beberapa hantaran di media sosial yang didakwa menyentuh isu sensitif berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R).

Image from: Ahli PKR buat laporan polis terhadap Ridhuan Tee, dakwa sentuh isu 3R

Memetik laporan malaysiakini, laporan berkenaan dikemukakan oleh ahli PKR Batu, Rozan Azen Mat Rasip, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Difahamkan,  Rozan merujuk beberapa hantaran Facebook yang dimuat naik oleh Ridhuan antara 17 Mei hingga 3 Ogos lalu, yang didakwanya mengandungi unsur retorik berbaur perkauman serta kenyataan bersifat provokatif.

Menurutnya, kandungan hantaran tersebut menggunakan bahasa yang menghina dan berbaur hasutan sehingga “melebihi batas wacana awam yang boleh diterima”, selain berpotensi menggugat ketenteraman awam.

“Laporan polis ini dibuat setelah dilihat beliau sering cuba adu domba para pengguna pembaca media sosial/netizen dengan muat naik status yang mahu timbulkan provokasi perkauman dan perbezaan agama selain menggelirukan masyarakat dengan perkembangan isu semasa termasuklah hukum-hakam sudut pandangan agama yang jelas salah dalam konteks negara Malaysia sebagai sebuah negara masyarakat majmuk dan berdaulat,” kata Rozan.

Rozan turut mendakwa ruangan komen pada beberapa hantaran Facebook pendakwah itu dipenuhi dengan penghinaan yang disasarkan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Allahyarham bapanya, beberapa pemimpin kerajaan, mufti negeri serta institusi diraja.

Image from: Ahli PKR buat laporan polis terhadap Ridhuan Tee, dakwa sentuh isu 3R

Sehubungan itu, beliau menggesa polis menjalankan siasatan terhadap Ridhuan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia memperuntukkan kesalahan berkaitan penyalahgunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, manakala Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan melibatkan kenyataan yang boleh mencetuskan ketakutan atau kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Bekas pemimpin PKR Wilayah Persekutuan itu turut memaklumkan beliau sedang meneliti kemungkinan membuat laporan polis terhadap beberapa lagi pengguna media sosial yang didakwa melakukan kesalahan serupa.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan identiti individu terbabit, sebaliknya berkata laporan hanya akan dibuat selepas bukti yang mencukupi berjaya dikumpulkan.

“Saya sedang menunggu giliran saya untuk bertemu pegawai penyiasat mengenai laporan polis ini. Saya berharap tindakan tegas daripada pihak polis,” tambahnya lagi.

Ini bukan kali pertama Ridhuan menjadi perhatian susulan kenyataan yang dikaitkan dengan unsur provokatif.

Pada Mac lalu, namanya tersenarai antara beberapa individu dalam satu memorandum yang menggesa Kerajaan MADANI mengambil tindakan lebih tegas terhadap ucapan berunsur kebencian agama dan provokasi kaum.

Memorandum itu mendakwa Ridhuan, bersama beberapa tokoh kontroversi lain termasuk Zamri Vinoth, Firdaus Wong Wai Hung dan Tamim Dahri Abdul Razak, berulang kali mengeluarkan kenyataan yang dianggap menghina agama lain serta mempromosikan naratif provokatif sejak lebih sedekad lalu.

Artikel lain: “Hancur imej Islam kalau macam ni!”- Ridhuan Tee persoal NGO sakau dana asnaf

Memorandum yang diketuai oleh Persekutuan Hak Asasi Manusia Global (GHRF) itu turut menggesa pihak berkuasa menguatkuasakan undang-undang secara konsisten terhadap individu yang didakwa mencetuskan ketegangan antara agama, khususnya menerusi platform media sosial.

Sumber: malaysiakini

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved