Ahmad Faizal kecewa kemelut PN bawa kesan besar

LocalPolitics
24 Sep 2026 • 1:59 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Ahmad Faizal kecewa kemelut PN bawa kesan besar

PETALING JAYA: “Perkara kecil, sesuatu yang kami bina bersama, kini dalam kemelut yang boleh membawa kesan yang besar.

Itu luahan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang dipercayai susulan kemelut dalaman Perikatan Nasional (PN) sehingga semua kegiatan gabungan itu kini digantung Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Ahmad Faizal berkata, kemelut berkenaan menyebabkan beliau bukan sahaja kecewa, malah marah dan malu terhadap pihak tertentu yang didakwanya bertopengkan kebaikan tetapi membuat onar sehingga merugikan diri sendiri.

“Kecewa, kerana perkara kecil, sesuatu yang kami bina bersama, kini dalam kemelut yang boleh membawa kesan yang besar.

“Marah kerana, mereka bertopengkan kebaikan tetapi membuat onar yang merugikan diri mereka sendiri.

“Malu kerana, apabila mereka bercakap, bergegar bumi. Rupa-rupanya, kamu lemah. Bahtera perjuangan suci gagal dikemudi. Aku berasa dikhianati!” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Faizal turut menyentuh sikap pihak tertentu yang menurutnya berubah apabila kedudukan seseorang pemimpin berubah.

“Ketika pemimpin itu di atas, kamu tunduk, kamu hormat, kamu berkongsi segala nikmat, merasa bagaimana berkuasa.

“Ketika pemimpin itu di bawah, kamu pula mendongak, kamu bongkak dan khianat kepada tutur janji,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan pihak berkenaan yang menurutnya masih berlagak seolah-olah tidak melakukan sebarang kesalahan, sebaliknya menganggap setiap perkara yang merugikan berpunca daripada pemimpin lain.

“Namun, kamu masih berlagak seumpama kamu maksum, tidak berdosa dan tidak akan sesekali melakukan dosa.

“Pada diri kamu, setiap kejadian yang merugikan, pasti berpunca dari kesalahan pemimpin lain,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal mengingatkan dirinya supaya tidak menuding jari kepada pihak lain dan mengakui setiap individu mempunyai kesalahan yang perlu diperbetulkan.

“Aku beringat kepada diri sendiri. Aku bukan maksum. Tentu aku ada salah silap. Aku mesti perbetulkan.

“Aku tak perlu menuding jari seakan aku sentiasa betul, orang lain sentiasa salah. Mungkin kamu juga, seharusnya, sedemikian,” katanya.

Semalam, RoS mengesahkan mengeluarkan perintah penggantungan terhadap semua kegiatan PN berkuat kuasa 23 September di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966.

Tindakan itu susulan notis di bawah Subseksyen 13(2) yang meminta PN memberikan penjelasan berhubung aduan yang dikemukakan Bersatu kepada RoS. – UTUSAN

The post Ahmad Faizal kecewa kemelut PN bawa kesan besar appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved