
GERIK: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan akan mempengerusikan mesyuarat Kabinet akan datang bagi menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjalani pemeriksaan dan prosedur perubatan.
Beliau berkata, pada Selasa lepas, beliau telah dimaklumkan sendiri oleh Anwar tentang rawatan pembedahan kecil yang akan dijalani oleh Perdana Menteri itu.
“Beliau telah memberitahu saya bahawa sepanjang ketiadaan beliau meminta saya untuk mempengerusikan mesyuarat Kabinet,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Strategik Penentu Sosial Kesihatan Orang Asli (NSPSDHOA) 2026–2035 di Kampung Orang Asli Air Banun dekat sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Terdahulu. Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Anwar dijangka akan berada di bawah pemantauan pakar perubatan selama dua hari.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata Perdana Menteri memerlukan masa rehat yang secukupnya tetapi yakin tidak mengambil masa lebih seminggu.
“Kita sama-sama doakan akan kesembuhan dan keselesaan kepada beliau untuk kembali bertugas kepada rakyat dan negara,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat Orang Asli perlu diberikan penekanan tinggi seperti mana rakyat yang lain.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Kesihatan Nasional memaklumkan, kemudahan klinik dan pusat kesihatan terutama di kawasan berdekatan masyarakat Orang Asli turut akan sentiasa dipertingkatkan.
Dalam pada itu, Dzulkefly dalam pada itu berkata, Tinjauan Kesihatan Orang Asli (OAHS) pada 2022 mendapati dua daripada lima anak-anak Orang Asli berdepan masalah bantut.
Tambahnya, dari segi penyakit kronik, tujuh hingga lapan daripada 10 pesakit Orang Asli langsung tidak sedar bahawa mereka menghidap kencing manis dan kolesterol selain satu daripada lima keluarga Orang Asli masih terbelenggu dengan masalah ketidakjaminan makanan. – UTUSAN
The post Ahmad Zahid akan pengerusikan mesyuarat Kabinet appeared first on Utusan Malaysia.






