AI berpotensi tingkatkan permintaan hospital, KPJ antara penerima manfaat – HLIB

LocalBusiness & Finance
15 Sep 2026 • 11:57 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AI berpotensi tingkatkan permintaan hospital, KPJ antara penerima manfaat – HLIB Image from: AI berpotensi tingkatkan permintaan hospital, KPJ antara penerima manfaat – HLIB hamden15/09/2026 - 11:57 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Sept - Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor penjagaan kesihatan Malaysia berpotensi meningkat dan menjadi pemangkin kepada permintaan perkhidmatan hospital, menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).

 

Firma penyelidikan itu berkata keadaan itu mampu menjadi pemangkin jangka pendek kepada pengendali hospital Malaysia seperti KPJ Healthcare Bhd, Sunway Healthcare Holdings Bhd dan IHH Healthcare Bhd

 

HLIB meletakkan KPJ sebagai pilihan utama dengan harga sasaran RM3.79, selain IHH.

 

 

 

 

 

 

Menurut firma penyelidkan itu, kedua-dua syarikat berkenaan berada pada kedudukan baik untuk mendapat manfaat daripada trend yang semakin berkembang itu, manakala penurunan harga saham baru-baru ini menjadikan penilaian kedua-duanya relatif lebih menarik.

 

Firma itu mengekalkan saranan “Neutral” terhadap sektor penjagaan kesihatan..

 

AI tawar kos murah

Mengulas lanjut penggunaan AI dalam penjagaan kesihatan serta kaitannya terhadap kemasukan ke hospital, HLIB berkata, perkembangan berkenaan didorong kos AI yang rendah, kemudahan akses serta keupayaannya memberikan respons yang diperibadikan kepada pesakit.

 

HLIB memetik tinjauan Boston Consulting Group (BCG) yang menunjukkan majoriti golongan dewasa yang ditinjau di 15 negara pada November 2025 telah menggunakan alat AI generatif bagi isu berkaitan kesihatan.

 

Tinjauan OpenAI pada Disember 2025 pula mendapati tiga daripada lima orang dewasa di Amerika Syarikat (AS) telah menggunakan alat AI bagi pertanyaan berkaitan kesihatan dalam tempoh tiga bulan sebelumnya.

 

“Walaupun ketika ini terdapat data terhad mengenai penggunaan model bahasa besar (LLM) oleh rakyat Malaysia bagi pertanyaan berkaitan penjagaan kesihatan, kami merujuk kepada perkembangan di rantau lain sebagai petunjuk kepada potensi trend di Malaysia,” kata HLIB dalam nota penyelidikannya.

 

Firma itu berkata penggunaan LLM sebagai titik konsultasi pertama boleh memberi implikasi ketara terhadap permintaan hospital, khususnya dengan mengurangkan sikap “tunggu dan lihat” dalam kalangan pesakit.

 

Sebelum kewujudan AI, pesakit yang mengalami simptom mungkin mengabaikannya atau cuba merawat sendiri, yang berpotensi menyebabkan keadaan kesihatan tertentu tidak dikesan selama bertahun-tahun.

 

Menurut HLIB, LLM membolehkan pesakit memahami dengan lebih baik kepentingan simptom yang dialami serta menentukan langkah seterusnya yang sesuai.

 

Rawatan profesional lebih awal

Situasi itu seterusnya boleh mendorong mereka mendapatkan rawatan profesional lebih awal dan meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan.

 

“Berdasarkan percubaan kami menggunakan ChatGPT, kami mendapati LLM ini secara proaktif menggalakkan pengguna mendapatkan rawatan perubatan profesional apabila simptom membimbangkan atau berterusan, selain bagi simptom tanda amaran yang mengancam nyawa," katanya.

 

HLIB berkata potensi tersebut amat relevan di Malaysia memandangkan banyak keadaan kesihatan masih kurang didiagnosis.

 

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, penyakit jantung iskemik (IHD) kekal sebagai punca utama kematian pada 2022 dan 2024, masing-masing menyumbang 16.1% dan 13% daripada kematian yang disahkan secara perubatan.

 

HLIB berkata terdapat salah tanggapan umum bahawa serangan jantung berlaku secara tiba-tiba dan tanpa sebarang tanda amaran.

 

Bagaimanapun, data klinikal yang dikumpulkan daripada pusat jantung di seluruh Malaysia menunjukkan 98% pesakit sindrom koronari akut mempunyai keadaan kesihatan atau faktor risiko asas yang berpotensi dikenal pasti lebih awal sebelum berlakunya kejadian jantung yang mengancam nyawa.

 

“Penemuan ini menunjukkan sebahagian besar kes IHD masih kurang didiagnosis, termasuk dalam kalangan pesakit yang akhirnya mengalami kejadian jantung akut.

 

 

 

 

 

 

“Dalam keadaan ini, peningkatan penggunaan LLM bagi penjagaan kesihatan peribadi berpotensi menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mendapatkan maklumat, menilai simptom dan mendapatkan rawatan perubatan lebih awal.”

 

Sehubungan itu, HLIB berkata peningkatan penggunaan LLM untuk pertanyaan berkaitan penjagaan kesihatan boleh menjadi pemangkin jangka pendek kepada pengendali hospital Malaysia. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved