Padah buang air kecil tepi jalan, tiga lelaki ditahan

21 Sep 2026 • 1:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Padah buang air kecil tepi jalan, tiga lelaki ditahan
Tangkap layar memaparkan tiga lelaki membuang air kecil di tepi jalan Lebuhraya EDL, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Tindakan tiga lelaki membuang air kecil di tepi jalan Lebuhraya Eastern Dispersal Link (EDL) membawa padah apabila mereka ditahan polis pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintenden Ng Swie Chait berkata, ketiga-tiga lelaki warga tempatan berusia antara 28 hingga 36 tahun itu ditahan di sebuah restoran di Taman Maju Jaya, di sini, kira-kira jam 9.30 malam.

Menurutnya, laporan berhubung kejadian diterima pada jam 6.11 petang selepas video berkenaan dikesan dimuat naik di media sosial kira-kira jam 2 pagi pada hari sama.

“Polis merampas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes ini.

“Salah seorang suspek pula memiliki rekod jenayah lampau,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Sebelum itu, video berdurasi 16 saat memaparkan perbuatan ketiga-tiga lelaki itu membuang air kecil di tepi jalan dengan MPV berkenaan berada di sebelah mereka tular di Facebook.

Katanya, semua suspek bagaimanapun negatif dadah.

“Kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya negeri,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan kelucahan melampau, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved