Air kolam melimpah jejas 200 keluarga

LocalEnvironment
6 Nov 2026 • 9:56 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Air kolam melimpah jejas 200 keluarga

 

KUALA LUMPUR – Kira-kira 200 keluarga di Taman Seri Alam, Saujana Utama, Kuala Selangor, dekat sini, dilaporkan terjejas akibat banjir susulan limpahan air kolam tadahan semalam.

Pengerusi Pembangunan Infrastruktur dan Komuniti Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Saujana Utama, Wan Ismail Hashim berkata, air daripada kolam tadahan melimpah sehingga memasuki rumah penduduk selepas hujan berpanjangan.

Kolam tadahan di kawasan itu tidak pecah seperti kejadian sebelum ini, sebaliknya melimpah apabila tidak dapat menampung air.

“Berdasarkan anggaran awal, kira-kira 200 keluarga di Taman Seri Alam terjejas akibat limpahan air kolam tadahan.

“Paras air berbeza mengikut kawasan. Ada yang separas lutut, tetapi di kebanyakan rumah yang terjejas di Seri Alam, air dianggarkan sedalam kira-kira 0.3 meter,” katanya dihubungi.

Wan Ismail berkata, kawasan Saujana Perdana turut mengalami limpahan air, namun setakat petang semalam, air hanya memasuki anjung rumah di kawasan SU4.

Hujan berterusan turut menyebabkan ban parit pecah berhampiran sempadan Eco Grandeur, manakala beberapa kolam tadahan di kawasan sekitar turut penuh.

“Kolam tadahan itu tidak sempat menampung air, manakala aliran keluar ke sungai menjadi perlahan kerana paras air sungai juga sudah tinggi.

“Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menyediakan dua unit pam yang sudah diaktifkan, masing-masing di Taman Seri Alam dan Saujana Perdana.

“Pam itu menyalurkan air daripada longkang monsun atau kawasan perumahan ke kolam tadahan, namun kesannya tidak begitu ketara kerana paras air kolam sendiri sudah tinggi,” katanya.

Pembangunan di kawasan sekitar dan penyelenggaraan saliran turut menyumbang kepada masalah banjir, selain hujan serta air yang tidak sempat mengalir keluar.

Pihak berkaitan perlu memberikan perhatian kepada penyelenggaraan berkala longkang dan sistem saliran, termasuk saliran utama yang menyalurkan air keluar dari kawasan perumahan.

“Pembangunan pun menyumbang juga. Maksudnya, penyelenggaraan longkang ada sedikit menyumbang, tetapi bukan 100 peratus daripada pembangunan.

“Hujan lebat dengan air yang tidak sempat mengalir pun menjadi faktor. Jadi, saya minta pihak berkaitan memberikan perhatian tambahan kepada penyelenggaraan mengikut jadual,” katanya.

Wan Ismail berkata, pemantauan bersama MPKS, polis, pejabat daerah dan wakil penduduk diteruskan bagi memastikan keadaan banjir terkawal.

Keadaan banjir dilaporkan semakin beransur baik susulan tindakan agensi berkaitan dengan kerjasama penduduk setempat.

“Alhamdulillah, sekarang (semalam) hujan sudah berhenti. Cuma kita risau kalau hujan lagi, memang air akan naik.

“Setakat ini, saya rasa paras air sudah berkurangan sedikit, tetapi ada kawasan yang airnya masih bertakung dan tidak sempat mengalir keluar,” katanya.

Menurutnya, pihak pentadbiran daerah turut bersedia membuka pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Ixora Hillpark sekiranya keadaan banjir bertambah serius dan memerlukan pemindahan penduduk.

 

The post Air kolam melimpah jejas 200 keluarga appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved