Banjir Puncak Alam: MB arah naik taraf kolam tadahan UiTM

6 Nov 2026 • 2:15 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Banjir Puncak Alam: MB arah naik taraf kolam tadahan UiTM

KUALA SELANGOR, 6 NOV: Hujan lebat dengan taburan melebihi 100 milimeter (mm) di kolam tadahan air Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam di sini semalam menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Puncak Alam dilanda banjir kilat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata limpahan air dari kolam tadahan itu mengakibatkan rasuk konkrit berhampiran pecah, sekali gus menjejaskan lebih 1,000 kediaman dan unit komersial.

Sehubungan itu, Amirudin mengarahkan kerja baik pulih rasuk konkrit tersebut dijalankan segera selain menaik taraf kolam tadahan berkenaan sebagai langkah penyelesaian jangka masa panjang.

“Hujan paling tinggi yang berlaku semalam hasil dapatan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang berada di puncak UiTM di sini. Ia memberi kesan kepada keadaan banjir di dalam UiTM.

“Malah sebahagian besar aliran itu mengalir hingga berlaku limpahan di beberapa lokaliti. Semalam dianggarkan (taburan hujan) lebih 100mm dan saya sedang mencari solusi segera,” katanya kepada pemberita.

Image from: Banjir Puncak Alam: MB arah naik taraf kolam tadahan UiTM
Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari diberikan taklimat ketika meninjau keadaan kesan limpahan air dan banjir di beberapa kawasan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam di Kuala Selangor pada 6 November 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Terdahulu beliau menerima taklimat ringkas daripada Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Raiz Radzuan dan agensi teknikal, serta dibawa meninjau ke lokasi kolam tadahan di UiTM Cawangan Puncak Alam di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata kajian hidrologi perlu dilaksanakan terlebih dahulu bagi menilai keperluan serta kaedah penyelesaian terbaik berikutan kolam tadahan berkenaan terletak di kawasan tinggi dan berhampiran beberapa bangunan fakulti.

Menurutnya, kerja menaik taraf kolam tadahan itu bagaimanapun perlu diberi keutamaan sebagai langkah segera bagi mengatasi masalah berkenaan sementara penyelesaian jangka panjang dikenal pasti.

“Kita perlu buat dahulu kajian hidrologi kerana ia libatkan kawasan yang tinggi dan di bawah ada banyak fakulti. Maknanya kita tidak boleh suka-suka untuk pecahkan.

“Tetapi naik taraf kolam takungan ini satu keperluan segera dan kita perlu tengok apa keperluan yang boleh kita lakukan,” katanya.

Image from: Banjir Puncak Alam: MB arah naik taraf kolam tadahan UiTM
Rektor UiTM Cawangan Selangor meninjau kawasan terjejas akibat limpahan air susulan hujan lebat hampir tiga jam di Kampus Puncak Alam pada 5 November 2026. Foto Facebook UiTM

Semalam, UiTM Cawangan Selangor memaklumkan rasuk konkrit longkang yang pecah akibat aliran air tinggi susulan hujan lebat hampir tiga jam dikenal pasti menjadi punca banjir di UiTM Kampus Puncak Alam.

Menurut Unit Komunikasi Korporat UiTM Cawangan Selangor, Rektornya, Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman telah meninjau kawasan terjejas bagi menilai keadaan susulan kejadian berkenaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved