Pendapatan KPJ Healthcare meningkat 12% kepada RM1.25 bilion pada suku ketiga

LocalBusiness & Finance
23 Nov 2026 • 6:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pendapatan KPJ Healthcare meningkat 12% kepada RM1.25 bilion pada suku ketiga Image from: Pendapatan KPJ Healthcare meningkat 12% kepada RM1.25 bilion pada suku ketiga sarah23/11/2026 - 18:26 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Nov - KPJ Healthcare Berhad mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 12% kepada RM1.25 bilion bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, disokong pertambahan jumlah pesakit, prosedur pembedahan dan permintaan terhadap rawatan yang lebih kompleks.

 

Menurut laporan kewangan yang diumumkan kepada Bursa Malaysia hari ini, pendapatan kumpulan meningkat daripada RM1.12 bilion pada suku sama tahun lalu, manakala keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang saham bertambah 13% kepada RM106.3 juta berbanding RM93.9 juta.

 

Keuntungan sebelum cukai turut meningkat 10% kepada RM167.2 juta daripada RM151.9 juta, manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat kepada RM289.5 juta berbanding RM274.2 juta.

 

Operasi hospital di Malaysia pacu pertumbuhan

Segmen Malaysia kekal sebagai penyumbang utama dengan pendapatan RM1.23 bilion, meningkat 12% daripada RM1.10 bilion setahun sebelumnya, merangkumi kira-kira 99% daripada keseluruhan pendapatan kumpulan.

 

Keuntungan sebelum cukai segmen itu meningkat 16% kepada RM163.3 juta berbanding RM140.2 juta, didorong pertambahan kunjungan pesakit dan jumlah pembedahan yang dijalankan di rangkaian hospital KPJ.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026, pendapatan kumpulan meningkat 12% kepada RM3.49 bilion daripada RM3.11 bilion, manakala keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang saham melonjak 20% kepada RM279.9 juta daripada RM233.1 juta.

 

KPJ perluas perkhidmatan rawatan khusus

Dalam usaha memperkukuh perkhidmatan penjagaan kesihatan, KPJ baru-baru ini melancarkan pusat rawatan mata khusus, KPJ Centre for Sight PJ33 di Petaling Jaya, Selangor.

 

Kumpulan turut memperkenalkan Pusat Kecemerlangan Ortopedik dan Reumatologi pertamanya di KPJ Penang Specialist Hospital, yang merupakan pusat kecemerlangan ketiga di bawah KPJ Health System.

 

Menurut KPJ, pengembangan perkhidmatan khusus itu merupakan sebahagian daripada strategi menggabungkan amalan perubatan, pendidikan, penyelidikan dan inovasi bagi meningkatkan mutu rawatan serta memperkukuh daya saing jangka panjang kumpulan.

 

KPJ optimis terhadap prospek 2026

KPJ menjangkakan sektor penjagaan kesihatan Malaysia terus berkembang, disokong peningkatan permintaan perkhidmatan perubatan serta pelaburan sektor awam dan swasta, termasuk peruntukan RM47.7 bilion kepada Kementerian Kesihatan dalam Belanjawan 2027.

 

Kumpulan turut menyatakan keyakinan terhadap prospek bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, berlandaskan asas perniagaan yang kukuh dan strategi pengembangan perkhidmatan rawatan khusus.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved